Penulis: Nadia
Nazri
Dalam bisnes,
kita ada 1001 cara untuk pikat pelanggan. Bukan mudah untuk memujuk prospek
untuk bertukar menjadi pelanggan kita apatah lagi jika kita masih baharu
bertapak dalam industri. Berikut adalah antara cara yang anda boleh gunakan
untuk meyakinkan mereka untuk menerima anda pada permulaannya.
#1-Jual Borong
Suka membeli secara borong? Kenapa? Sudah pasti kerana harganya lebih murah apabila dibeli dalam kuantiti yang banyak. Jika perniagaan anda bukanlah berkonsepkan borong tidak mengapa. Apa salahnya jika memberikan harga borong sekali-sekala kepada pelanggan anda. Penulis pernah ke GM Klang untuk mencari beberapa barang namun berakhir dengan membelinya dalam kuantiti yang lebih dari yang diperlukan kerana harganya lebih murah berganda-ganda berbanding membeli dalam kuantiti yang diperlukan dan sudah tentu ini menguntungkan penjual.
Anda juga pasti pernah mengalami pengalaman yang sama dek kerana penjimatan harga yang ditawarkan. Perkara yang sama juga harus anda lakukan dalam bisnes anda baik dalam jualan atau perkhidmatan. Sesetengah kedai menawarkan pakej kombo untuk menjimatkan duit pelanggan. Semakin banyak pelanggan membeli semakin banyak stok terjual dan perlu ditambah. Ini hipotesis mudah yang anda semua, para usahawan, harus lakukan. Lihat syarikat makanan segera contohnya, mereka tidak ada konsep borong, namun mereka boleh tawarkan penjimatan pada pelanggan dengan harga ‘add on’.
#2-Harga Murah Kaw-Kaw
Siapa yang tak tertarik pada harga yang murah? Walaupun mungkin pelanggan tidak membelinya tapi sudah pasti mereka akan melihat seketika iklan atau bertanya lebih lanjut akan harga yang anda tawarkan. Anda harus bijak bermain dengan angka, meskipun harga RM 20.30 dengan RM 19.90 seperti jauh beza namun memainkan peranan besar dalam memikat hati pelanggan untuk membeli.
Oleh itu, anda juga tidak harus terkecuali menggunakan cara ini. Kadang-kadang pelanggan ingin memiliki produk anda namun situasi kewangan tidak mengizinkan, jadi apa salahnya jika anda juga mempelbagaikan konsep pembayaran. Seperti contohnya, jika produk anda agak mahal, anda boleh tawarkan bayar secara ansuran bulanan.
Contoh seperti kedai telefon, ramai yang tidak mampu untuk beli telefon keluaran terbaharu pada harga RM 3,990 secara langsung tetapi dengan teknologi yang ditawarkan, sudah pasti mereka ingin menggunakannya. Sama ada keperluan atau kehendak, mereka pasti akan mempertimbangkan untuk membelinya jika boleh dibayar secara ansuran seperti RM 150 setiap bulan. Pastikan anda merujuk kepada pihak berkenaan bagaimana untuk melakukannya dengan sah.
#3- Yakinkan Mereka Dengan Jaminan
Banyak produk dalam pasaran ketika ini memberikan jaminan pulangan wang kepada pelanggan. Lihat sahaja konsep barangan GO SHOP, CJWOW. Ini adalah platform membeli belah yang menggabungkan media tradisional dan baharu. Pelanggan pasti ragu-ragu untuk membeli atau mencuba sesuatu yang baharu yang mereka hanya dapat lihat tetapi tidak dapat sentuh. Jadi mereka perlukan jaminan untuk wang yang mereka laburkan.
Pelanggan yang membeli secara online atau langsung akan berasa lebih yakin dan selamat sekiranya anda menawarkan jaminan pemulangan wang. Ini kerana mereka rasa yang duit mereka masih selamat dan mereka dapat berpatah balik sekiranya tidak berpuas hati ataupun membuat keputusan yang salah.
Anda harus berani menawarkan sesuatu seperti ini jika anda yakin dengan apa yang jual namun sekiranya anda tidak pasti dan berasa was-was, mungkin anda patut menukar produk jualan kerana keyakinan pelanggan datang daripada keyakinan anda sebagai penjual dan sebaliknya.