Kegembiraan adalah salah satu keperluan asas manusia. Jika seseorang itu tidak dapat menemukan kegembiraan dalam hidup, agak sukar untuk mencapai kepuasan dan kekal positif dalam menghadapi setiap ujian yang mendatang.
Mungkin ramai yang menceburi bidang bisnes kerana berasa itulah pekerjaan yang akan memberi kepuasan dan menggembirakan mereka. Mungkin ya, mungkin tidak. Kenapa tidak? Hal ini demikian kerana, jika anda betul-betul berminat dengan bisnes, anda pasti betah untuk menghadapi pasang surut dalam bisnes.
Namun, sebaliknya, jika saat-saat kejatuhan dalam bisnes anda membuatkan anda tertekan, runsing, dan sebagainya ini akan membuatkan anda jauh daripada kegembiraan yang anda harapkan kerana anda terlalu fokus untuk berjaya dalam bisnes tanpa ada perancangan yang rapi dan survival yang tinggi.
Sudah pasti kita akan bahagia bila kita dapat mencapai apa yang kita nak, akan tetapi jika tidak, bagaimana untuk kekal gembira jika berada dalam situasi yang tidak menyenangkan? Bilionair terkenal, Bill Gates dan Melinda Gates ada rahsianya, iaitu dengan rutin kehidupan yang konsisten.
Baca selanjutnya:
1-Sentiasa Berdamping Dengan Yang Tersayang
Jika anda rasa anda sudah cukup sibuk mengendalikan bisnes, apatah lagi bilionair terkenal seperti Bill Gates. Namun begitu, beliau masih mempunyai masa yang berkualiti bersama-sama ahli keluarga yang tersayang. Menurut mereka, sesibuk mana sekalipun mereka dalam urusan bisnes, mereka pasti akan cuba untuk makan malam bersama anak-anak mereka.
Setiap hari, di antara pukul 6 hingga 7 petang, mereka akan duduk bersama, makan bersama-sama dan mencuba makanan berlainan yang disukai oleh setiap daripada mereka. Dalam keluarga bilionair ini, penggunaan gajet tidak dibenarkan sama sekali apabila makan bersama. Malah, pasangan ini mendidik anak-anak mereka untuk tidak menggunakan gajet.
Walaupun Bill Gates adalah pelopor kepada teknologi gergasi dunia namun itu tidak menghalang beliau daripada menyekat anak-anaknya daripada terlalu bebas dan leka dengan teknologi. Jika pasangan bilionair yang sudah ‘wajib’ untuk sentiasa sibuk ini boleh ada rutin makan bersama dan tidak bermain dengan gajet semasa bersama mengapa tidak anda?
Bisnes mungkin penting untuk anda akan tetapi masa lagi penting. Jika anda tidak melapangkan masa untuk keluarga anda sekarang, anda akan kehilangan masa dan memori untuk dikenang kelak. Tidak mustahil juga pada masa akan datang mereka juga kurang gemar mahu menghabiskan masa mereka untuk anda apabila anda tua kerana mereka sudah terbiasa dengan rutin negatif yang anda ajarkan pada mereka.
Setiap daripada kita memilik waktu yang sama iaitu 24 jam sehari. Mungkin anda tiada masa akan tetapi sebenarnya anda boleh melapangkan masa. Pilihlah. Kata Bill Gates, selepas makan bersama, dia gemar membasuh pinggan kerana itu adalah terapi stress terbaik. Anda pernah basuh pinggan? Atau orang lain basuhkan?
2-Jangan Sambung Kerja Pada Malam Hari
Sejak 4 tahun yang lalu, Melinda Gates, isteri kepada Bill cuba untuk menghidupkan rutin baharu yang positif iaitu untuk tidak membuat urusan kerja selepas waktu makan malam. Mereka menghadkan waktu kerja mereka dan tinggalkan sebarang urusan yang belum selesai di luar rumah.
Pasangan ini kini gemar mengakhiri hari-hari mereka setiap malam dengan sesuatu aktiviti yang lebih menenangkan dan kasual seperti menonton filem ringan dan sebagainya. Malah, mereka juga sempat membaca buku walaupun hanya selama 5 minit.
Ini penting untuk kekal aktif dan mengembangkan pemikiran dan idea untuk bisnes. Ini adalah rutin kedua yang mereka lakukan secara konsisten. Bagaimana dengan anda? Sanggup ke tak sanggup?
3-Tidur Awal
Rasa-rasanya, rutin yang ketiga ini semua sudah maklum akan kebaikannya. Malah, dalam Islam sendiri, Allah s.w.t berpesan, waktu malam seharusnya dihabiskan untuk berehat dan membuat ibadah malam seperti solah tahajud, solat taubat dan sebagainya. Pasangan Bilionair ini cuba untuk tidur seawal 9.30 malam.
Menurut mereka, untuk kekal produktif dan gembira sambil melakukan bisnes, disarankan seseorang untuk tidur minimum 7 jam sehari. Kata Melinda, tanpa tidur yang cukup, anda boleh terbuat keputusan yang salah dan sukar untuk mengekalkan prestasi yang bagus dalam keadaan yang tidak tertekan.
Malah, kesan dia bukan sahaja mempengaruhi sikap anda sebagai usahawan tetapi turut juga memberi kesan kepada karakter anda sebagai majikan. Anda mungkin marah-marah kerana kesilapan kecil yang pekerja lakukan. Tetapi sebenarnya, punca anda marah bukan kerana kesilapan kecil akan tetapi penat dan tidak cukup rehat, tanpa anda sedar.
Sudah pasti anda tidak mahu memulakan hari anda tanpa rehat yang cukup. Cubalah tidur awal malam ini dan lihatlah perubahannya pada esok hari. Malahan, anda juga boleh bangun awal untuk qiamullail. Cubalah!
Sumber Rujukan:
https://www.entrepreneur.com/article/334068
Penulis: Nadia Nazri