Panduan-panduan ini boleh membantu anda sekiranya berminat untuk menghantar ke mana-mana sekolah atau pusat tahfiz. Panduan ini umum dan sesuai untuk anda kaji dan lihat;
1- Ada banyak pusat tahfiz di luar sana yang diuruskan secara sepenuh masa dengan pengurusan yang professional dan tidak professional. Maksud professional ialah mereka mempunyai sistem pengurusan yang berstruktur.
2- Sebahagian pusat tahfiz dijalankan berorientasikan profit dan ada juga yang dijalankan berorientasikan tujuan dakwah atas inisiatif badan-badan dan orang perseorangan. Kedua-duanya ada yang diuruskan dengan berstruktur dan ada yang tidak juga. Pada saya lebih baik cari sekolah yang berdaftar untuk mengelakkan sesuatu yang lebih kompleks pada masa akan datang.
3- Tenaga pengajar juga penting dalam proses untuk menjadikan pusat tahfiz ada kesan positif. Jadi tak salah jika anda bertanya tentang latar belakang guru / murshid yang mengajar mereka. Kelayakan juga penting pada saya, sebab ianya sebahagian keperluan pada seorang guru. Jika mereka ada tauliah ianya adalah lebih baik.
4- Lihatlah juga persekitaran tempat belajar tersebut sesuai, selesa dan selamat untuk anak-anak anda. Tiga aspek ini amat penting. Selesa bukan bermakna mewah, tapi sekurang-kurangnya anak anda boleh belajar dengan baik apabila persekitaran juga membantu. Apabila mereka masuk ke pusat tahfiz, tidak jauh beza mereka belajar di sekolah berasrama. Jadi persekitaran inilah maksud saya.
5- Kurikulum pembelajaran juga membantu anak anda untuk menjadi seorang pelajar tahfiz yang baik. Bertanyalah bagaimana sistem pelajaran yang dijalankan di mana-mana pusat tahfiz yang berhampiran. Ada sekolah tahfiz yang ada subjek sains juga, ada juga yang ada subjek agama yang lain, ada juga yang hanya tahfiz sahaja.
6- Proses pemilihan pelajar juga menentukan kredibiliti sesebuah sekolah/pusat tahfiz. Ada yang menjalankan proses saringan sebagaimana saya di institut tahfiz dahulu. Saringan pertama ujian bacaan dan hafazan, saringan kedua penulisan dan terakhirnya barulah temuduga. Ini contoh pada waktu saya dahulu.
7- Jika sekolah tahfiz swasta, yuran pembelajaran yang anda bayar akan membantu operasi di sekolah juga. Dan sepatutnya anda faham bahawa jika tiada kerjasama dari ibu bapa dalam menjelaskan pembayaran, maka ianya juga akan menjejaskan proses pengurusan mereka juga.
8- Struktur bangunan juga perlu diambil kira sebab ada juga yang beroperasi tidak mengikut prosedur keselamatan. Penting pada saya untuk memastikan jangkaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bayangkan sahajalah walaupun dah mengikut prosedur pun kita tak boleh terlepas dari tragedi, kalau tiada langsung mungkin impaknya lebih buruk.
9- Kenali anak anda sebaiknya. Niat hantar anak ke sekolah tahfiz juga kena betul. Jangan anak tidak minat pun dipaksa juga. Sebahagiannya ada beranggapan bila dah tiada tempat nak selesaikan masalah akhlak anak-anak, maka dihantar ke pusat tahfiz. Pastikan komitmen ibu bapa selari dengan komitmen pihak sekolah tahfiz juga. Sebab jujur saya nyatakan sokongan persekitaran di rumah dan dari ibu bapa amat penting untuk anak anda menjadi huffaz Al-Quran.
Sedikit perkongsian ini dapat membantu anda jika ingin menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz.