MELAKA: 15 penumpang sebuah bas ekspres dua tingkat berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh kenderaan lain di kilometer 220.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan berhampiran persimpangan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar 8.30 pagi yang melibatkan tiga kenderaan itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya seorang penumpang mengalami kecederaan ringan.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya ketika dihubungi berkata, ketika kejadian sebuah lori yang diiring sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger menghentikan kenderaan di bahu kiri jalan akibat tayar lori pecah.
Bas ekspres yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang datang dari arah sama kemudian melanggar kedua-dua kenderaan di bahu jalan itu difahamkan selepas cuba mengelak sebuah lagi kenderaan lain yang secara tiba-tiba menukar laluan.
Kejadian itu menyebabkan bahagian hadapan kiri bas ekspres dua tingkat itu mengalami kerosakan teruk.
Namun, semua penumpang dan pemandunya dilaporkan selamat serta tidak mengalami kecederaan.
Hasan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan lurus dengan permukaan jalan kering dan pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.
Ujarnya, kesemua 14 penumpang yang dalam perjalanan dari ibu kota ke Singapura itu telah dipindahkan ke bas lain manakala seorang lagi penumpang dikejarkan ke hospital Alor Gajah ekoran terkena serpihan kaca pada kaki dan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.