KUALA LUMPUR: Masih ramai ibu bapa yang berada dalam penafian untuk menerima keadaan anak yang mempunyai masalah ketidakupayaan, kata Pengerusi Profesor Pembangunan Kerjaya, Universiti Help, Prof Datin Dr Quek Ai Hwa.
Beliau berkata ada dalam kalangan ibu bapa berkenaan bertegas menghantar anak mereka ke sekolah biasa sedangkan perkara itu akan memberikan pelbagai halangan kepada anak mereka terutama dalam memahami pembelajaran sepertimana anak normal yang lain.
“Keadaan ini juga pasti memberi masalah terhadap keluarga sendiri, kadang-kadang ibu bapa ini sudah tahu keadaan keupayaan anak mereka tetapi tidak mahu menerima hakikat itu.
“Selain itu, ramai ibu bapa sendiri tidak suka dengan terma orang kelainan upaya (OKU) untuk anak mereka, mereka rasa malu sehingga ada yang tidak menghantar anak tersebut untuk mendapat pendidikan di sekolah,” katanya kepada Bernama selepas sesi forum pada Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa (ISEE) 2019, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Quek mencadangkan kerajaan agar memperbanyakkan program pemulihan kepada anak berkeperluan khas itu di samping mempelbagaikan program kesedaran yang berkesan bukan sahaja kepada ibu bapa malahan kepada masyarakat.
“Selain itu, kerajaan juga perlu membina kemudahan yang sewajarnya kepada mereka, ada sekolah yang saya tengok tidak mesra pengguna kepada golongan ini, tandas sempit dan disediakan di aras yang tinggi menyukarkan kanak-kanak ini untuk menggunakannya,” katanya.
Sementara itu beliau berkata pada tahun ini seramai 83,093 kanak-kanak berkeperluan khas didaftarkan di sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negara.
“Kita harapkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak istimewa mereka, bukan sahaja sekadar berdaftar tetapi terus kekal dan mengikuti program-program yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Presiden Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan, Prof Datuk Dr Sufean Hussin berkata ibu bapa perlu mendapatkan pentaksiran yang sewajarnya mengenai tahap ketidakupayaan anak mereka di hospital dan klinik berdaftar bagi mengetahui jenis ketidakupayaan dialami sejak dari awal.
“Ini penting agar kita tahu adakah ia pada tahap yang serius atau tidak, jadi kita masih boleh mencari penyelesaian dan saluran yang betul bagi membantu anak kita ini seterusnya dapat menyediakan pendidikan yang khusus untuk mereka,” katanya.
— BERNAMA