SEBUT sahaja Taj Mahal, semua orang tahu sejarahnya. Ia salah satu lokasi pelancongan idaman ramai.
Bagi yang belum berkesempatan mengunjunginya, kami berikan beberapa tip ini yang boleh membantu melancarkan kunjungan anda.
Masa sangat penting
Taj Mahal dibuka sepanjang tahun, namun pada hari Jumaat ia hanya boleh dilawati oleh mayarakat Islam yang mahu bersolat di masjid. Hari-hari lain, pelancong boleh melawatnya dari matahari terbit hingga matahari terbenam, sepanjang tahun.
Suhu paling menyenangkan untuk melawat Taj Malah ialah dari Oktober hingga Februari.
Masa juga penting. Kunjungan semasa matahari terbit bukan sahaja memberi pemandangan indah, tetapi anda juga tidak perlu berebut dengan pengunjung lain untuk mendapatkan gambar yang cantik.
Hanya 3 jam
Terdapat had masa untuk melawat Taj Mahal. Untuk mengelakkan kesesakan dan kerosakan, tapak Warisan Dunia UNESCO itu telah mengehadkan jumlah pengunjung setiap hari kepada 40,000 dan menaikkan bayaran dari 50 rupee kepada 250 rupee untuk warganegara India, dan dari kira-kira AS$16 hingga AS$19 untuk pengunjung luar negara. Langkah terbaru adalah mengenakan bayaran kepada pelawat yang mengambil masa lebih dari tiga jam, dengan jumlahnya bersamaan dengan harga tiket asal.
Ambil gambar sendiri
Jika anda pengunjung dari luar negara, ada kemungkinan anda akan dihampiri oleh warga tempatan yang mahu mengabadikan kenangan bersama. Jangan terpedaya kerana jika anda bersetuju terhadap pelawaan itu, anda akan dikerumuni ramai. Cara terbaik, tolak dengan baik dan ambillah gambar sendiri tanpa perlu meminta pertolongan sesiapa.
Pakaian sesuai
Walaupun tidak ada kod berpakaian yang ketat, pelawat dinasihatkan berpakaian sopan. Paling penting bahu dan lutut tidak boleh terdedah. Sekiranya anda mahu menyerlah dalam gambar, pakai warna terang seperti biru dan merah jambu, yang kelihatan cantik apabila bergambar di hadapan marmar putih Taj Mahal.
Sarung kasut
Di pintu masuk, semua pelawat menerima sepasang sarung kasut pakai buang. Anda perlu memakainya, atau berjalan tanpa alas kaki jika anda merancang untuk masuk ke dalam Taj. Ini adalah salah satu usaha untuk melindungi lantai marmarnya.