BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Setiausaha Politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk menyerahkan dirinya kepada polis untuk membantu siasatan.
Tegas Presiden PKR itu, walaupun dimaklumkam laporan polis kes tersebut telah ditarik balik oleh pengadu namun, Farhash perlu berbuat demikian jika diminta.
“Walaupun dia kata laporan polis sudah ditarik balik, bila polis minta jumpa dia kena beri kerjasamalah,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Dialog Digital Native Agenda 23 (DNA23) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, pada Khamis.
Farhash, adalah suspek utama siasatan polis dalam pergaduhan melibatkannya dan tiga lelaki lain di Ampang pada malam Merdeka.
Semasa kejadian, seorang lelaki mendakwa diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi.
Kejadian itu menyebabkan pengadu mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di bahagian anggota badan dan sakit di bahagian kemaluan.
Pada Rabu, polis berkata Farhash gagal dikesan dan menggesanya tampil ke hadapan untuk memudahkan siasatan.
BACA: Lagi video ‘semburit’ tersebar, SKMM gesa buat laporan Dalam perkembangan berasingan, Anwar memberitahu tidak mahu terlibat dalam isu penyebaran video seks melibatkan individu mirip Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Tegasnya, perkara itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Saya sudah tegaskan tidak mahu melayan itu dan serah pada polis,” jelasnya.
Awal pagi Khamis, enam lagi klip video disebarkan dengan pelakunya mirip Mohamed Azmin.
Penyebaran video tersebut merupakan kali ketiga selepas yang pertama disebar pada Jun lalu.