PRESIDEN Rusia Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada Khabib Nurmagomedov susulan kejayaannya mempertahankan kejuaraan lightweight UFC, Ahad lalu.
Dalam aksi tersebut, Khabib selaku penyandang gelaran lightweight menumpaskan juara interim lightweight, Dustin Poirier dari Amerika Syatikat menerusi ‘submission’ pada pusingan ketiga.
Putin menzahirkan ucapan tersebut ketika mengadakan lawatan kerja ke daerah persekutuan milik Rusia, Dagestan pada Khamis.
Semasa lawatan, Putin sempat bertemu Khabib dan bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Republik Dagestan, Vladimir Vasilev.
BACA: Khabib tumpaskan Poirier, kekalkan kejuaraan lightweight UFC
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda. Ia adalah pertarungan yang baik dan menentang pesaing yang kuat.
“Kuncian yang anda lakukan sangat baik, ia sangat teknikal,” katanya seperti dipetik portal GenFight.com.
Khabib yang memberi kepada Putin, mengakui Poirier seorang petarung yang hebat selain menghormati pihak lawannya.
“Ya lawan saya memang kuat dan dihormati. Kali ini saya (juga) bertarung dengan petarung yang menghormati saya,” katanya.
Khabib dipercayai membandingkan pertarungan tersebut dengan pertarungannya yang lepas antara Conor McGregor pada Oktober tahun lalu yang dicemari insiden buruk.
Khabib pada Ahad lalu berjaya mengekalkan takhta kejuaraan dunia lightweight UFC selepas menewaskan Poirier dalam acara UFC 242 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod profesional Khabib kepada 28 kemenangan tanpa kalah.