SHAH ALAM: Orang ramai yang ingin melakukan senaman pada waktu malam dinasihatkan untuk menjaga pemakanan dan mendapatkan rehat yang mencukupi.
Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, aktiviti bersukan pada waktu malam perlu dilakukan dengan kaedah yang betul untuk mengelak daripada sebarang komplikasi seperti sesak nafas dan sakit jantung.
“Orang ramai yang ingin melakukan aktiviti bersukan pada waktu malam sewajarnya mendapatkan waktu rehat yang mencukupi kerana mereka menggunakan tenaga yang banyak.
“Seseorang yang ingin melakukan aktiviti bersukan pada waktu malam perlu menitikberatkan kualiti tidur dan menjaga pemakanan, sekaligus membantu daya ketahanan badan semasa bersukan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad mendedahkan aktiviti bersukan pada waktu malam boleh menjadi ‘pembunuh senyap’.
Ini kerana tanpa disedari individu berkenaan mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan masalah jantung.
Aktiviti tersebut yang banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik.
Dalam pada itu Sathianathan ketika mengulas perkara tersebut berkata, aktiviti bersukan pada waktu malam menjadi pilihan kepada masyarakat terutamanya kepada mereka yang sibuk bekerja pada waktu siang sehingga tidak mempunyai masa untuk bersukan.
“Bersukan pada waktu malam sangat bagus dan baik untuk kesihatan diri kita kerana sukan adalah sangat penting,” ujar beliau.
Sehubungan itu beliau menasihati golongan muda khususnya yang gemar bersukan pada waktu malam agar tidak memandang remeh terhadap penjagaan waktu tidur dan meminimumkan aktiviti luar yang kurang bermanfaat.