SITIAWAN: Seorang mekanik cedera selepas tersepit di bawah kereta yang sedang dibaikinya di Kampung Seri Selamat di sini, pada Khamis.
Mangsa, Rahman Ahmad, 52, cedera di bahagian kepala dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.17 petang.
“Setibanya di lokasi, didapati seorang mangsa telah tersepit di bawah kenderaan ketika membaiki kenderaan itu dan mangsa mengalami kecederaan di kepala,” katanya di sini.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulan untuk tindakan lanjut.