Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk terus memberi penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai golongan muda terutama pelajar sekolah untuk menjadi usahawan luar bandar bertepatan dengan strategi Program Tranformasi Minda Anak Muda.
Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad berkata, usahawan merupakan nadi terpenting dalam pengukuhan sosioekonomi golongan Bumiputera bagi menjadikan pertumbuhan negara makmur dan lebih berdaya saing.
“Oleh itu, Kementerian Pendidikan sebagai agensi pelaksana sedang giat melaksanakan pelbagai strategi dalam membangunkan kolej vokasional yang berasaskan pertanian untuk turut terlibat dalam industri keusahawanan dan pertanian.
“Enrolmen golongan muda untuk pendidikan dan industri berasaskan pertanian sangat rendah berbanding bidang kemahiran dan teknologi lain yang mana sehingga kini enrolmen di kolej pertanian di seluruh negara hanya 70 peratus berbanding dengan kapasiti yang ditawarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Semarak Tani Kolej Vokasional Pertanian Kebangsaan di Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, hari ini.
Mengenai penganjuran karnival tersebut, Kamel berkata ia bertujuan memberi galakan kepada pelajar sekolah supaya menyertai Program Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam Rancangan Malaysia ke-11.
-BERNAMA