KUCHING: Suasana ketika melangkah masuk ke Pusat Konvensyen Borneo Kuching cukup menceriakan. Kedatangan para peserta Forum Tenaga Lestari dan Tenaga Diperbaharui (SAREF 2019) disapa mesra alunan sape.
Irama mengasyikkan yang diberi sentuhan moden itu dialunkan kumpulan muzik terkenal At Adau.
Kumpulan anak jati Sarawak ini memperdengarkan karya popular mereka antaranya Menjong, Storm, Stronger dan Lost and Found.
Ditubuhkan pada 2014 kembara At Adau bersama irama hutan hujan Borneo ke serata dunia tidak pernah terhenti.
Keunikan kumpulan ini adalah kreativiti mereka menggabungkan irama alat muzik tradisional dari pelbagai etnik antaranya Sape (Orang Ulu), Perutong (Bidayuh), dan Tekebung (Iban) dengan alat muzik moden .
At Adau adalah gabungan dua perkataan berlainan bahasa Etnik Borneo.
At dalam bahasa Bidayuh bermaksud akar. Adau pula adalah dari bahasa kaum Kenyah iaitu sejenis pokok yang kayunya paling sesuai dijadikan sape.