KUALA LUMPUR: Penyertaan golongan muda dalam kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dijadikan dasar seperti mana yang dilakukan terhadap golongan wanita sebelum ini.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, walaupun langkah pengambilan golongan muda untuk menyertai kerajaan dan sebagai ahli lembaga pengarah dilihat cukup memberangsangkan, namun ia tidak boleh dihentikan setakat itu sahaja.
“Kita hendak pastikan supaya ia (pengambilan golongan muda) jadi trend yang biasa di mana supaya akhirnya, tidak perlu lagi kerajaan paksa tetapi orang (ramai) sendiri akan tanya mana anak muda (dalam jawatan kanan).
“Ada pelantikan atau kekosongan. Ada anak muda atau tidak? Sama seperti yang kita lakukan bagi wanita sebelum ini dalam lembaga pengarah korporat, dan ia berjaya.
BACA: ‘Belia tak mampu memimpin? Ia penipuan terbesar’ – Syed Saddiq
“Ia sama seperti apa yang dilakukan kerajaan (bagi golongan wanita) sebelum ini, boleh mencapai 30 peratus. Kini kita perlu bertanya, di mana anak muda dalam apa-apa pelantikan?” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur di sini hari ini.
Ujarnya, beberapa agensi dan GLC seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) telah mula melantik golongan muda sebagai ahli lembaga pengarah mereka.
Beliau juga berbangga melihat lebih ramai golongan muda dan belia dilantik menjadi exco kerajaan negeri serta sebagai anggota ahli majlis.