PELAKON Adam Corrie memberitahu bahawa ramai pihak yang memanggilnya dengan gelaran ustaz berikutan sering berkongsi mengenai hal-hal berkaitan agama dan keindahan Islam di media sosial.
Begitupun, Adam atau nama sebenarnya Adam Corrie Lee Abdullah, 51 tahun, menjelaskan bahawa dia bukanlah individu yang layak untuk menerima gelaran tersebut.
“Agaknya, saya jarang muat naik gambar tengah menjalani penggambaran drama atau filem, sebab itu ramai yang DM (Direct Message) saya panggil ustaz, tanya hukum-hakam agama.
“Saya bukan ustaz, saya bukan PU, saya bukan Da’i. Saya tak pernah sertai program tersebut. Jadi, saya tak mahu gelaran ustaz.
“Biarlah gelaran itu diberikan kepada yang betul-betul layak dan ada tauliah. Saya tiada tauliah agama. Tanya pada ahli yang betul,” luahnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Katanya, dia tidak mahu orang di luar sana keliru dengan status sebenar dirinya yang hanyalah seorang pelakon sahaja.
“Saya tak mahu menjadi fitnah pada agama Islam. Kerana Saya hanya seorang pelakon biasa, seorang artis cina muslim sahaja.
“Apabila saya berkongsi tentang keindahan Islam ia masih belum layak digelar ustaz. Baik bagi kita, tapi belum tentu baik untuk orang lain,” coretnya.