KEPALA BATAS: Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya karam ketika mereka sedang mengail udang di Sungai Muda, Jalan Ekor Kucing, Kepala Batas Pulau Pinang pada pagi Selasa.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Najmi Mohd Lazim, 22, dari Kampung Ekor Kucing, Tasek Gelugor bersama dua lagi rakannya dalam perjalanan pulang selepas mengail udang di sungai terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bot fiber yang dinaiki mereka bocor menyebabkan ketiga-tiga mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Menurut beliau, dua rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang manakala mangsa yang tidak tahu berenang hanya berpaut pada bot namun arus kuat menyebabkan dia tenggelam.
Rakan Muhammad Najmi juga berusaha menyelamatkan mangsa namun gagal.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati ketika kejadian ketiga-tiga mangsa tidak memakai jaket keselamatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.30 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera bomba dari Kepala Batas, Tasek Gelugor, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bandar Perda dan Paya Terubong.
Turut membantu pasukan bomba bantuan Sungai Petani, dan PDRM.
Usaha mencari mangsa giat dilakukan namun pihak bomba berdepan sedikit kesukaran berikutan faktor sungai yang dipenuhi pasir.
“Masalah (yang) kita hadapi ialah kawasan pencarian tidak sekata jarak kedalaman, ada aktiviti ambil pasir didasar, (kita juga) akan terus untuk cari mangsa terlibat,” kata Saadon.