PUTRAJAYA: Pendedahan sembilan klip rakaman audio berhubung dakwaan konspirasi pecah amanah, salah guna kuasa, serta pemalsuan bahan bukti dilakukan demi kepentingan awam, tegas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.
Menurut beliau, tindakan itu penting untuk dilakukan bagi memastikan tahap integriti serta ketelusan badan seperti SPRM dan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak lagi dipersoalkan pihak tertentu.
“Bukan sahaja atas nama ketelusan, tetapi kerana kami tidak mahu lagi melihat badan bebas seperti SPRM diperlekehkan atau berlaku kompromi dalam AGC, yang mana anda lihat dokumen rahsia disebarkan dan sebagainya.
“Jadi kami merasakan amat perlu untuk kami mendedahkan bukti seperti ini,” katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Melalui sidang media itu, media diperdengarkan sembilan klip rakaman audio mengandungi perbualan telefon antara individu berprofil tinggi seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor serta bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Zulkifli Ahmad.
Tidak ketinggalan rakaman perbualan dengan Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Putera Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan.
BACA: “Sayang, awak Perdana Menteri, lakukan sesuatu” – Dipercayai arahan Rosmah pada Najib
Rakaman tersebut antaranya mengandungi pembocoran rahsia yang diklasifikasikan Akta Rahsia Rasmi (OSA), cubaan untuk memalsukan bahan bukti berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain arahan tertentu untuk menaikkan pangkat individu dalam kerajaan.
Mengulas lanjut, Latheefa berkata, SPRM baru sahaja menerima bukti berkenaan awal tahun ini dan akan menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau berkata, tidak banyak yang akan didedahkan mengenai bagaimana rakaman berkenaan diterima atau siapa penghantarnya.
Namun begitu, Latheefa menegaskan, rakaman itu asli dan jelas menunjukkan elemen salah guna kuasa yang serius dalam negara ini.
“Dalam kesalahan yang kami catat melalui perbualan ini, ada elemen salah guna kuasa, tetapi banyak juga perkara yang tertakluk kepada Kanun Keseksaan, jadi kami akan memberikan semua bukti ini untuk tindakan lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” tegas beliau lagi.