SIBU: Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki cuba menyeludup 30 ekor burung murai dianggarkan bernilai RM24,000 ke Indonesia.
Suspek berusia 45 tahun ditahan dalam serbuan Op Bersepadu Khazanah (OBK) ketika sedang asyik ‘memikat’ burung murai di sebuah rumah pekerja di Ladang Bawan, Kilometer 2, Tuah, Jalan Nibong Tada, di Kanowit pada jam 4.04 petang Jumaat.
Timbalan Pegawai Memerintah PGA Batalion 10 Kem Lanang Sibu, Deputi Superintenden (DSP) Frediel Nyambong berkata, sepasukan anggotanya daripada cawangan Pasukan Khas OBK diketuai oleh Asisten Superintenden (ASP), Mohd Adirra Ramli mendapati suspek menjadikan rumah pekerja terbabit sebagai tempat penyimpanan dan memilihara burung murai tanpa permit sah.
“Ada dua jenis spesis burung murai terancam iaitu termasuk Murai Batu dan Murai Cacing berjaya diselamatkan daripada suspek yang mengaku sebagai pemilik burung tersebut,” kata dalam satu sidang media di sini pada Sabtu.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati modus operandi suspek ialah menangkap dan menyimpan burung itu sebelum dijual kepada orang tengah untuk diseludup ke Indonesia.
Ujarnya, seekor burung murai dijual dengan harga RM800 ke atas bergantung kepada kemerduan kicauan dan kecantikannya.
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut, manakala semua burung murai yang dirampas akan diserahkan kepada pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC) Cawangan Sibu untuk siasatan di bawah Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1988.
Tambahnya, penangkapan suspek adalah antara kejayaan kedua PGA pada tahun ini dalam membanteras kegiatan penyeludupan haiwan spesis terlindung.
“Terdahulu pada 23 Januari lalu, pasukan sama diketuai oleh ASP Mohd Zamani Baharom merampas masing-masing seekor monyet dan landak bernilai RM1,200 dari lelaki tempatan berusia 48 tahun di sebuah tumah di Tanjung Kunyit di sini” katanya.