KUALA LUMPUR: Datuk Lokman Noor Adam bukan dipecat dari jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tetapi dibuang daripada menjadi ahli parti Melayu itu.
Itu penjelasan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang sekali gus menyebabkan Lokman hilang kelayakan sebagai ahli MKT.
Menurut Annuar, dalam banyak hal, Lokman didakwa tidak bercakap benar selain tidak memahami Perlembagaan UMNO terutama terutama yang melibatkan kedudukan dan bidang kuasa Presiden dan Ahli MKT yang dilantik.
Memetik laporan UMNO Online, Annuar berkata, pemecatan Lokman juga dibuat oleh MKT selepas dicadang dan diluluskan oleh Biro Politik.
“Dia juga cuba mencipta persepsi konon Presiden telah menyalahi kuasa, selain melaga-lagakan Datuk Seri Najib Razak dengan kepimpinan tertinggi UMNO.
“Datuk Seri Najib Razak telah beberapa kali mengatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menjadi Presiden dan Perdana Menteri semula, justeru Lokman berbohong dan cuba mengeliru dan memberi harapan palsu kepada para pengikut beliau,” kata Ahli Parlimen Ketereh itu lagi seperti dilaporkan portal berkenaan.
BACA: “Jika benar, pemecatan saya dari UMNO tidak sah” – Lokman Adam
Pada 7 Februari lalu, Lokman berkata, beliau akan merujuk kepada peguamnya sekiranya pemecatannya dari UMNO tidak sah.
Dalam masa sama, Lokman berkata, sekalipun dipecat, tindakan itu tidak akan mengubah pendiriannya menentang Pakatan Harapan (PH) dan tali barut dalam UMNO.
Lokman menjadi tumpuan selepas mendedahkan rakaman audio Ahmad Zahid yang mencadangkan UMNO menyertai kerjasama Pakatan Nasional bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Cadangan Ahmad Zahid itu disuarakan susulan keputusan yang dibuat oleh parti Pas untuk memberi sokongan dalam bentuk kerjasama politik dengan Dr Mahathir.