DALAM kalut ada peraturan
Peraturan cipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri
Di sini
Bait lirik Tanya Sama Itu Hud-Hud ini mungkin kena dengan situasi yang berlaku antara Balai Seni Negara dan seniman Ahmad Fuad Osman.
Dalam hidup sentiasa ada peraturan atau undang-undang yang dibuat untuk mengelak berlaku apa-apa perkara yang mampu mencipta kekalutan. Namun, ada ketikanya peraturan itu juga boleh menyebabkan kekalutan kerana ada pihak yang menyalah gunakan peraturan itu untuk kepentingan peribadi atau mana-mana pihak.
Jika kita lihat dalam isu empat karya Ahmad Fuad yang diarahkan turun selepas lebih dua bulan dipamerkan, kita akan tertanya-tanya kenapa sebelum dipamerkan karya-karya itu tidak dinilai terlebih dahulu.
Apabila selepas lebih dua bulan baru diarahkan supaya diturunkan, ada persoalan yang timbul, apa kerja pihak Balai Seni Negara sebelum karya ini dipamerkan? Bukankah sebelum dipamerkan kurator dan Ahmad Fuad sendiri telah memaklumkan karya-karya yang bakal dipamerkan?
Dalam satu kenyataan media, Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad menjelaskan isu penurunan karya ini bukanlah suatu perkara yang mustahil dalam proses berpameran di Balai Seni Negara.
“Prosedur Operasi Piawai (SOP) Balai Seni Negara dalam mana-mana perjanjian di antara Balai Seni Negara dan mana-mana pihak yang berpameran, menerangkan bahawa Balai Seni Negara berhak menurunkan karya-karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat dan negara.
“Pameran adalah merupakan suatu proses dan ia bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran, proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita,” katanya.
Beliau berkata dalam pameran sebelum ini, terdapat juga situasi di mana pelukis dan agensi ini membuat perubahan pada susun atur dan pemilihan karya, untuk mendapatkan hasil yang sesuai dengan maksud dan pengunjung di Malaysia.
Menurutnya, Balai Seni Negara tidak menyentuh kredibiliti pelukis dari segi komentar dan juga kebolehannya, bagaimanapun pihak Balai Seni Negara berpendapat karya-karya tersebut memerlukan bimbingan, penerangan dan pemahaman seni yang tinggi untuk dihayati supaya tidak disalah erti.
“Tindakan ini diambil merujuk kepada respon dan aduan masyarakat yang diterima. Peranan galeri ini adalah sebuah ‘galeri institusi’ yang didanakan oleh kerajaan, dan perlu beroperasi mengikut norma dan tertibnya,” tambahnya.
Tapisan terhadap karya seni
Benarkah adanya respon atau aduan masyarakat yang diterima pihak Balai Seni Visual mengenai empat karya yang berjudul ‘Untitle 2012’, ‘Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody’, ‘Imitating the Mountain 2004’, dan ‘Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik’.
Janganlah menjadikan masyarakat umum sebagai kambing hitam apabila bertindak atas kehendak dan kepentingan pihak tertentu.
Walau apa sekalipun alasan yang diberikan, apa yang berlaku kepada Ahmad Fuad adalah sesuatu yang dikesalkan dan amat memalukan.
Di zaman digital ini, perkara ini sepatutnya sudah tidak berlaku lagi dan pihak-pihak berkenaan perlu menjadi lebih terbuka.
Tapisan terhadap sesuatu karya seni sepatutnya tidak dibuat mengikut kehendak atau kepentingan pihak-pihak tertentu.
Artis semestinya sudah melakukan tapisan terhadap karya-karya yang dihasilkan malah sebelum ia dipamerkan, telah memaklumkan karya mana yang mahu dipamerkan.
Sepatutnya, ia sudah ditapis boleh atau tidak digantung atau diletakkan di ruang pameran yang gah itu.
Pihak lembaga pengarah Balai Seni Negara seharusnya menjadi pihak yang meraikan dan menghargai seni seterusnya menjadi badan yang mendidik masyarakat dalam menghayati seni.
Masyarakat seharusnya dididik terbuka dalam menghargai seni tidak menjadi seperti pengikut wahabi yang gemar menghukum dan mengambil alih kerja tuhan.
Jika ada kalangan lembaga pengarah Balai Seni Negara yang cemburu pameran mana-mana artis mendapat sambutan, apa yang perlu dilakukan ialah hasilkan karya yang lebih baik dan mudah diterima.
Bersainglah secara sihat bukan ‘membunuh’ orang lain dengan kuasa yang ada ditangan kerana kuasa itu tidak akan kekal.
Belajarlah menghormati karya orang lain jika mahu karya sendiri dihargai dengan sesungguh hati.
Sikap menyalahgunakan kuasa yang ada dan menjadikan orang awam sebagai kambing hitam adalah sesuatu yang jijik dan memalukan.
Apa yang terjadi ini seakan benar seperti yang dimaksudkan Ahmad Fuad dengan pemerannya kali ini bahawa dipenghujungnya seni tidak lagi penting. Seni menyadur kehidupan atau kehidupan yang menyadur seni?
Uuh… Sang Algojo
Uuh… nanti dulu
______________________________________________________________________
* Irwan Muhammad Zain merupakan wartawan di Astro AWANI
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.