BAGAN DATUK: UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan cadangan anggota Kabinet kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan.
Presidennya yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun menegaskan, cadangan itu dikemukakan berlandaskan beberapa perkara asas.
“Peratusan (ratio-kadar) sumbangan UMNO dan BN dalam pembentukan kerajaan baharu. Keutamaan cadangan nama-nama berdasarkan hieraki pemegang jawatan-jawatan utama dalam parti.
“Muka-muka baharu, tokoh-tokoh muda dan profesional serta teknokrat. Tokoh dari BN & sahabat BN dari Sabah dan Sarawak telah disenaraikan,” katanya.
BACA: Zahid cadangkan dirinya tidak dilantik sertai Kabinet
Menurut beliau, UMNO dan BN memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri untuk pelantikan-pelantikan yang akan dibuat.
“Memberikan kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk meletakkan mereka yang berpengalaman dari dalam atau luar parti di potfolio-portfolio penting.
“Memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar bersih, berintegriti dan amanah bagi menganggotai Kabinet,” ujarnya.
Ahmad Zahid dalam masa sama mahu peluang diberikan kepada mana-mana pemimpin yang berdepan pertuduhan di mahkamah untuk diadili secara adil sekali gus membersih diri melalui proses tersebut.
“Memberikan peluang kepada mereka yang menghadapi pertuduhan-pertuduhan di mahkamah untuk membersihkan diri melalui proses perundangan di mahkamah.
“Pembersihan diri hendaklah dibuat dengan tidak menggugurkan kes-kes mahkamah melalui keputusan Peguam Negara sebagai mana yang pernah dilakukan sebelum ini,” jelas Ahmad Zahid lagi.