ROM: Angka kematian akibat jangkitan koronavirus COVID-19 di Itali sudah melepasi 1,000 orang pada Khamis, sekali gus meningkatkan kebimbangan awam selain menjejaskan pasaran ekonominya.
Dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan, kerajaan Itali telah menguatkuasakan lebih banyak larangan ke atas rakyatnya. Antaranya adalah dengan perintah penutupan restoran dan bar di seluruh negara, lapor AFP.
Selain itu, kebanyakan kedai juga diarahkan tutup melainkan kedai menjual makanan dan ubat-ubatan.
“Kerajaan sedang berusaha sedaya upaya, kita sedang dalam peperangan menentang musuh yang tidak kelihatan,” ujar pemilik kedai di Rom, Roberto Castroni.
Cabaran yang dihadapi Itali sangat dahsyat – ia kini merupakan negara Eropah paling teruk dilanda wabak ini, dengan angka kematian melonjak dalam sehari, dari 189 ke 1,016.
Kes jangkitan positif meningkat kepada 15,113 daripada 12,462. Ia adalah kenaikan paling besar sejak wabak itu dikesan pada 21 Februari lalu di wilayah mewah sebelah utara, Lombardy.
Pada Khamis, gereja-gereja Katolik Rom juga diarahkan supaya ditutup. Keputusan itu adalah suatu yang tidak pernah dilakukan dalam zaman moden ini, dan berkuat kuasa ke atas lebih daripada 900 gereja lain di ibu negara Itali.
Bursa saham Milan juga mencatat rekod apabila mengalami kejatuhan sehingga 17 peratus dalam sehari, menjadikannya antara pasaran global yang paling teruk terjejas.