KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengambil keputusan mengehadkan operasi pengusaha restoran makanan segera termasuk KFC, Pizza Hut, Mc Donalds dan Sugar Bun sehingga jam 8 malam bermula, esok (21 Mac 2020).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arahan itu dikeluarkan bagi operasi pandu lalu dan turut melibatkan semua rangkaian pasar raya di seluruh negeri tersebut.
Tegas beliau, bagaimanapun semua kedai serbaneka seperti 7 Eleven, KK Mart dan stesen minyak boleh beroperasi seperti biasa.
Selain itu, Uggah menjelaskan, Sarawak pada Jumaat merekodkan tujuh lagi kes baharu positif COVID-19.
“Angka ini menjadikan jumlah keseluruhan kepada 58 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.
” Kesemua mereka adalah dari Kuching, empat dari kluster Ijtimak, dua dari kluster gereja dan satu masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media Perkembangan COVID-19 di Sarawak pada Jumaat.