SME Bank telah melaksanakan insiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM300,000 dan sumbangan korporat berjumlah RM50,000 kepada golongan barisan hadapan yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19 di negara ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sumbangan itu dapat bantu meringankan beban kerajaan yang sangat memerlukan dana bagi menyediakan kemudahan infrastruktur dan perubatan ketika negara sedang dilanda krisis penyakit berjangkit tersebut.
“Inisiatif yang diambil oleh SME Bank ialah respons kepada seruan kerajaan agar semua agensi dan badan bukan kerajaan berganding bahu dalam membantu kerajaan melawan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas hadir menyampaikan replika cek sumbangan di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur, semalam.
Wang zakat telah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan sebanyak RM100,000 masing-masing manakala Hospital Serdang, Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur masing-masing menerima RM25,000 melalui Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bagi wang sumbangan korporat RM50,000 pula, pihak bank telah menyampaikannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang mewakili inisiatif #responsMalaysia.
Sementara itu, Presiden Kumpulan serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, dana tersebut akan digunakan untuk pembelian peralatan perubatan khas para petugas barisan hadapan kesihatan bagi merawat pesakit Covid-19 serta membantu meringankan beban mereka yang terputus pendapatan akibat PKP.
“Selain itu, sumbangan terus ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur melalui AIBIM juga akan digunakan bagi membiayai pembelian peralatan perlindungan peribadi (PPE), lain-lain peralatan kesihatan, bahan-bahan sanitasi serta kelengkapan hostel bagi pekerja barisan hadapan,” katanya.