KUALA LUMPUR : Kotak pembasmi kuman atau terowong sanitasi yang digunakan di pasar raya besar Mydin sebagai langkah pencegahan awal jangkitan COVID-19 adalah selamat dan bersifat mesra alam.
Pengarah Urusan, Mydin Mohamed Holding Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, bahan cecair nyah cemar yang digunakan itu telah diperakui tidak mendatangkan sebarang kesan kepada kulit tubuh dan mata oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) Amerika Syarikat serta Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).
“Cecair yang kita guna ini adalah dibekalkan oleh syarikat tempatan yang berpengalaman kira-kira 15 tahun dalam penghasilan cecair nyah cemar,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Menurut Ameer Ali, bahan itu juga mengandungi agen pencegah bakteria dan anti virus (anti-microbial) yang jarang didapati pada cecair lain di pasaran.
Selain keselamatan, katanya, kesihatan pelanggan dan kakitangan adalah menjadi keutamaan mereka.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, laporan media dan saranan baru-baru ini yang meminta orang awam mengelakkan dari menggunakan dan menghasilkan terowong sanitasi telah diambil di luar konteks.
“Kenyataan ini dibuat berikutan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab menggunakan sumber yang berbahaya seperti bahan kimia, alkohol, klorin dan sehinggakan ada menggunakan cecair berasaskan kapsul denggi yang membahayakan tubuh manusia,” jelasnya.
Ameer menambah, di samping langkah itu, pasar raya Mydin turut menyediakan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu dan mengamalkan penjarakan sosial ketika membeli-belah.
“Kita juga melakukan sanitasi di kawasan-kawasan yang kerap menjadi tumpuan agar pelanggan sentiasa berasa selesa dan selamat ketika membeli-belah,” ujarnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau menjelaskan beberapa cawangan pasar raya besar itu ditutup sementara setelah mengambil kira faktor keselamatan kakitangan dan pelanggan.
Antara cawangan Mydin yang ditutup sementara adalah di Emporium Sinar Kota dan Masjid India di kawasan sentral sementara Mydin Aman Sentral Supermarket di utara dan Emporium Melaka di selatan.