SRI AMAN: Proses membakar menggunakan bara arang membuatkan penyediaan Suntong Tutok atau sotong kering satu juadah yang istimewa dengan rasa tersendiri.
Bagi peniaga Suntong Tutok, Ramli Morshidi, 58, kemahiran yang diwarisinya sejak 1980-an dalam menyediakan hidangan tersebut membuatkan ramai yang memilih untuk membuat tempahan dengannya terutama ketika Ramadan.
Jelasnya, tempahan yang diterima sangat luar biasa. Malah, membuatkan perniagaan dimilikinya itu sudah tidak asing lagi di Kampung Hulu, Sri Aman.
“Perniagaan ni saya sudah mewarisi dari abang saya yang telah dimulakannya 40 tahun lalu dan kebiasaannya saya akan berniaga Suntong Tutok ini dua hari sebelum menjelang hari Ramadan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Dalam pada itu Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini langsung tidak mematahkan semangat Ramli untuk meneruskan perniagaannya.
Ujarnya, dia tidak terkecuali dalam melakukan penjualan secara dalam talian dengan kaedah ‘Cash On Delivery’ (COD).
Ramli memberitahu, kaedah ini memudahkan urusan penjualan kerana pelanggan dapat terus melakukan tempahan hanya melalui aplikasi Whatsapp dan Facebook.
Akui Ramli, permintaan Suntong Tutok sangat luar biasa sampaikan tidak menang tangan mengendalikan tempahan pelanggan.
“Alhamdulillah, perniagaan secara atas talian ini agak mendapat sambutan apabila saya menerima tempahan sehingga 100 pek sehari. Disebabkan itu, kami terpaksa menyediakan juadah seawal jam 7 pagi sehingga 6 petang,” luahnya.
Apa yang menarik jelas Ramli, keistimewaan Suntong Tutok bukan hanya terletak pada cara pembakarannya tetapi juga pada resepi turun temurun dimilikinya dalam menghasilkan sos pencicah sotong tersebut.
Katanya, sos pencicah yang dihasilkan terdiri dari bahan-bahan tempatan seperti cili kering, kacang tanah, kicap dan gula apong.
Sementara itu, bagi pelanggan, Baharuddin Abdul Karim, dia teruja apabila dapat merasai Suntong Tutok di Kampung Hulu dan sering kali berkunjung ke situ setiap kali menjelang Ramadan.
“Saya memang sudah lama menjadi pelanggan setia Suntong Tutok ini kerana rasa sambalnya berbeza,” kongsinya ketika ditemui.