Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Pelan Pemulihan Usahawan Pasca Covid-19 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM372.845 juta.
Menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelan tersebut diperkenalkan bagi memastikan operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 dapat dilestarikan dan dipulihkan semula.
Beliau menjelaskan, terdapat enam strategi yang merangkumi 30 inisiatif telah digubal khusus untuk beberapa kumpulan sasar seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mikro, koperasi, pemula niaga, sektor tidak formal, graduan dan belia.
“Enam strategi itu ialah meningkatkan keyakinan rakyat; memperkasakan keupayaan dan kapasiti; meningkatkan akses dan bantuan pembiayaan; meningkatkan penggunaan teknologi; membuka dan memperluaskan pasaran serta menyampaikan perkhidmatan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pelan Pemulihan Usahawan Pasca Covid-19 akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama pada Mei ini hingga Disember 2020. Manakala, fasa kedua akan dijalankan bermula Januari 2021 hingga Mei tahun yang sama.
Tambah Wan Junaidi, usahawan PKS dan mikro perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza khususnya selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Mereka wajar mencari pendekatan dan berubah ke arah pendigitalan perniagaan, merebut peluang latihan serta tawaran-tawaran yang diumumkan agensi-agensi berkaitan terutama MEDAC.
“Pada masa yang sama, usahawan juga perlu mencari peluang sumber pendapatan baharu untuk kelangsungan perniagaan,” katanya.