Ayah turut memainkan besar dalam mendidik dan membentuk diri anak-anak. Kenapa sering kali dilabelkan ayah akan DITAKUTI dan bukan DIHORMATI? Sebab itu, ramai anak yang mengakui, mereka lebih suka kalau ayah tak ada di rumah dan hubungan dengan ayah juga kurang mesra terutama anak lelaki.
Dalam satu kes yang saya kendalikan, seorang ayah bersikap kasar dan keras walaupun terhadap anak yang baru berusia dua tahun dan empat tahun. Menurut si ibu, anaknya tak boleh main dalam keadaan suara yang meriah walau pun sedikit, pasti suaminya akan menjerit marah-marah kerana merasakan masa rehatnya diganggu.
Ayah Tak Beri Anak Kebebasan Di Rumah
Anak-anak juga tak dibenarkan berlari dan bergerak bebas di dalam rumah. Bagi si suami, tindakan si anak mengganggu konsentrasinya untuk menikmati rancangan televisyen kegemarannya yang hanya boleh ditonton di waktu hujung minggu.
Disebabkan tindakan si suami, anak-anak akan menjadi murung dan monyok jika ayah mereka berada di rumah. Tapi bila suaminya ditugaskan bekerja luar daerah, anaknya yang kecil bersuara: “papa tak balik ye? Bestnya!”
Wajarkah Sikap Ayah?
Mungkin bagi sebahagian pembaca, menganggap sikap si ayah adalah sikap yang wajar. Ya lah! Dah penat bekerja, mestilah nak bertenang dan rehat dalam keadaan yang selesa. Mungkin ada yang berpendapat, si lelaki dalam kes ini belum bersedia untuk menjadi seorang ayah.
Bagi saya pula, bersedia atau tidak untuk menjadi seorang ayah bukanlah topik utama kerana ketika anda, sama ada lelaki atau perempuan, mengambil keputusan untuk berkahwin, anda sebenarnya telah bersedia untuk menjadi seorang suami atau isteri sekali gus bersedia juga untuk menjadi seorang ibu atau bapa.
Isu bertenang dan berehat sememangnya benar tetapi yang jelas di dalam kes ini ialah, si ayah gagal untuk memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah malah gagal untuk memahami kehendak anaknya sendiri.
Fahami Kehendak Anak
Sebagai seorang ayah malah juga seorang ibu, anda perlu fahami kehendak anak anda. Dalam usia sekecil anak-anak di dalam kes tersebut, sememangnya mereka suka bermain, membuat kecoh, berlari malah meneroka ke sana sini bagi mendapat pengalaman dan ilmu yang baru.
Jika fitrah ini disekat, pembesaran si anak akan terbantut dan boleh menjadikan si anak seorang yang tidak aktif, lembap dan tidak bijak. Malah, bermain di usia kanak-kanak merupakan satu bentuk pengajaran yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w kepada ibu bapa.
Didik Anak Cara Rasulullah
Rasulullah s.a.w mengajar agar anak-anak dibentuk sikap dan akhlaknya melalui empat peringkat usia:
- Umur bawah 6 tahun – dibentuk melalui bermain, bermanja, bergurau;
- Umur 7 hingga 14 – dibentuk secara mengajar dan mendisiplinkan;
- Umur 15 hingga 21- mendidik melalui berkawan;
- Umur melebihi 21 tahun pula diberikan kebebasan bertindak sementara ibu bapa sebagai penasihat.
Jika saranan Rasulullah s.a.w ini difahami sebaiknya, takkan ada ibu bapa yang marah-marah bila anaknya bermain malah ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bermain bersama si anak.
Ayah Sila Ubah Sikap
Buat si ayah yang pernah mendabik dada, kononnya anda ayah dan ketua keluarga, kata-kata anda adalah kata muktamad, tak boleh ditambah kurang apatah lagi dibangkang, berusahalah untuk mengubah sikap diri sekiranya anda inginkan anak anda juga berubah.
Tak perlu jadi seorang yang garang, kasar dan keras terhadap anak-anak bagi menjadikan diri anda dihormati dan disayangi. Kasih sayang hanya akan wujud dan bercambah dengan kasih sayang juga, bukan dengan kekerasan. Jika kekerasan yang anda ajarkan kepada anak anda, pastinya kekerasan juga yang anda akan peroleh.
Masa Kualiti Dengan Anak
Dalam masa yang sama, peruntukkan masa yang berkualiti untuk anak anda. Benarlah, dunia hari ini sentiasa mengejar masa dan duit. Namun, satu perkara yang perlu diingat, mempunyai wang berjuta-juta pun takkan mampu membeli kasih sayang yang tulus dan ikhlas daripada anak anda sendiri.
Bukan hanya perhatian, belaian dan kasih sayang yang perlu diberikan kepada seorang anak. Malah sebagai seorang bapa, anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk menanggung segala perbelanjaan keperluan hidup anak-anak anda.
Tanggungjawab Yang Berkekalan
Tanggungjawab ini kekal walaupun berlaku perceraian antara anda dan isteri anda dan si anak diletakkan di bawah jagaan bekas isteri anda. Jangan mudah memberikan alasan tak mampu sedangkan anda boleh pula mencari beban baru dengan berkahwin lagi malah ada kes, membiayai anak tiri. Bayangkan apa yang anak-anak alami?
Rayuan saya, ambil masa untuk berfikir, apa yang bakal berlaku 10 atau 20 tahun akan datang, andai akan kekal dengan sikap tidak mempedulikan anak-anak anda kini? Terlalu banyak kes dikongsikan media hari ini. Ambillah teladan dan pengajaran agar anda tidak menjadi bahan berita mereka pula pada masa akan datang.
Sumber: Suzana Ghazali (suzanaghazali.blogspot.com)