KUALA LUMPUR, 12 Okt — Ketua jurulatih skuad lelaki kebangsaan A. Arul Selvaraj, bakal merangka pelan alternatif program latihan, selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama dua minggu bermula 12.01 tengah malam, 14 Okt.
Arul sepatutnya menyenaraikan 25 pemain untuk skuad ‘The Speedy Tigers’ daripada sejumlah 38 pelatih sekarang pada 2 Nov, berdasarkan penilaian dan beberapa ujian menerusi kem latihan yang bermula pada Isnin lepas.
Namun, beliau terpaksa akur dengan langkah pencegahan COVID-19 yang diambil kerajaan, justeru mula memikirkan langkah seterusnya dalam menyediakan pasukan untuk beberapa kejohanan pada 2021, termasuk Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh bermula 11 hingga 19 Mac.
“Setakat ini, maklumat yang saya terima kita tidak boleh mengadakan latihan, tetapi Majlis Sukan Negara (MSN) akan memberikan maklumat terperinci esok. Pengalaman ini baru bagi saya kerana ketika PKP dilaksana pada Mac lalu, saya berada di Ireland, jadi kena fikir latihan secara dalam talian dan sebagainya.
“Kita kena atur semula perancangan dan program lathan. Sekiranya saya tidak boleh tangguh pengumuman pemain, saya akan membuat keputusan (pemilihan pemain) dan bertanggungjawab sepenuhnya mengenai keputusan itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini, hari ini.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada pemain mengenai kemudahan yang ada di rumah mereka, seperti peralatan serta ruang untuk berlatih, dan pihaknya akan cuba membantu menyediakan peralatan yang boleh disediakan.
Jurulatih berasal dari Segamat itu berkata, setakat ini pemain menunjukkan prestasi yang baik secara individu, tetapi masih belum mencapai tahap diperlukannya dalam aspek taktikal, yang cuba diterapkannya.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad remaja negara Wallace Tan turut senada dengan Arul, walaupun kesuntukan masa untuk mempersiapkan pemain untuk Piala Remaja Asia dari 21-30 Jan depan, yang juga merupakan kelayakan ke Piala Dunia Remaja 2021.
“Kalau kita tak dapat berlatih di atas padang, memang ada gangguan, tetapi pentingnya kita ikut arahan untuk putuskan rantaian COVID-19. Jadi kena adjust program kita.
“Memang memerlukan masa kerana ramai pemain muda, mereka memerlukan pengalaman, namun dengan keadaan sekarang, kita perlu buat apa yang terbaik dengan apa yang kita ada,” katanya.
Wallace yang mempunyai 26 pemain remaja di bawah kendaliannya, sebelum ini merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya empat perlawanan persahabatan dalam sebulan menentang skuad senior, sebagai aksi pemanas badan.
— BERNAMA