KUALA LUMPUR, 9 Dis — Platform digital yang digunakan secara bermanfaat mempunyai impak meluas dalam meningkatkan kehidupan masyarakat selain penting dalam penyebaran maklumat.
Bagi Pengerusi Persatuan Kebajikan Anak-anak Beserah di Kuala Lumpur dan Selangor Datuk Dzulkifli Mahmud, agensi itu menggunakan platform digital untuk berhubung dengan masyarakat di kampung halaman, melaksanakan program komuniti, aktiviti sukan serta membantu komuniti dalam bidang keusahawanan.
“Selain terkenal dengan barangan tempatan seperti kuih dan keropok, terdapat ramai orang tempatan di kawasan Beserah (di Pahang) yang terlibat dengan perkhidmatan inap desa dan platform digital dapat membantu mereka menjana serta meningkatkan pendapatan,” katanya dalam rancangan Temu Minda KKMM yang dihoskan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di TV1 malam ini.
Program yang membincangkan topik ‘Memperkasa Komuniti Digital’ itu turut disertai Pengurus Besar portal berita Siakap Keli Mohamad Firdaus Ishak dan Ketua Pengarang portal berita itu Nur Farrah Izwani Rahman.
Sementara itu, Mohamad Firdaus berkata Siakap Keli yang merupakan platform berita dan isu semasa dalam talian banyak mengetengahkan isu masyarakat selain membantu individu yang ingin menceburi dunia perniagaan.
“Sebagai contoh, kita tengok tempat-tempat makan yang viral dan menarik minat masyarakat, kita kongsikan di platform media sosial tanpa mengenakan sebarang bayaran dan secara tidak langsung, dapat membantu golongan berniaga,” katanya.
Nur Farrah Izwani pula berkata platform berita itu akan memastikan maklumat dan sumber berita yang disampaikan kepada pembaca adalah sahih.
“Selain itu, bagi memastikan kandungan yang disiarkan menarik minat masyarakat, bahan yang disediakan perlu mempunyai nilai dan kandungan yang sentiasa malar segar, misalnya cara membaiki pendingin hawa, membuat pasu sendiri yang mana orang sentiasa baca dan jadikan bahan rujukan,” katanya.
— BERNAMA