KUALA LUMPUR, 9 Jan — Jumlah keseluruhan mangsa banjir melibatkan lima negeri masih melepasi angka 40,000 orang dengan hanya Pahang terdapat sedikit pertambahan jumlah mangsa, petang Sabtu.
Setakat jam 4 petang Sabtu, sejumlah 41,216 orang berada di pusat pemindahan di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Perak berbanding 43,791 mangsa, pagi tadi.
Di PAHANG, Temerloh kekal menjadi daerah paling teruk terjejas banjir di negeri itu dengan 11,871 mangsa daripada 3,227 keluarga masih ditempatkan di 88 pusat pemindahan sementara di kawasan berkenaan.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir di Maran ialah 3,532 orang, Lipis (2,330), Pekan (2,090), Raub (1,836), Jerantut (1,630), Bera (1,442), Kuantan (1,129) dan Rompin (636 orang).
Sementara itu, pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, ANIH Berhad, dalam kenyataan, melaporkan laluan Km126.3 antara persimpangan Chenor ke Temerloh masih belum dibuka kepada pengguna sejak ditutup pada jam 2.30 pagi semalam akibat banjir.
Portal infobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras Sungai Pahang di lima lokasi masih melepasi paras bahaya iaitu di Lubuk Pasu, Temerloh; Lubuk Paku, Maran; Sungai Yap, Jerantut dan dua di Pekan iaitu Kuala Sungai Chini dan Serambi, serta Sungai Jelai di Lipis.