GEORGE TOWN, 12 Jan — Penduduk di sekitar kawasan Jalan Permatang Pauh Lama, Seberang Perai Utara (SPU) akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 12 jam bermula jam 10 malam Jumaat ini, menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hari ini.
Ini susulan kerja-kerja penyambungan paip untuk menanggalkan injap udara 300 milimeter (mm) pada sesalur 900mm untuk kerja-kerja pelebaran jalan yang dijalankan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).
Antara kawasan yang akan terjejas adalah Taman Kerapu, Taman Ampang Jajar, Taman Sentral, Taman Mesra Jaya, Taman Bagan Lalang, Kawasan Perindustrian ACKU dan Kawasan Perusahaan Sungai Lokan.
“Bagi memudahkan semua kerja-kerja fizikal ini, PBAPP perlu mengasingkan dan menutup sebahagian dari saluran paip yang sedia ada. Kira-kira 3,000 akaun air akan terjejas oleh gangguan bekalan air ini,” menurut PBAPP dalam kenyataan di sini, hari ini.
Syarikat itu menasihatkan pengguna di kawasan yang terlibat supaya menyimpan air mencukupi untuk penggunaan selama 12 jam.
— BERNAMA