Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani dan Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 29 Jan — “Keadaan amat sukar ketika ini. Terus terang, saya tidak nampak sebarang kemungkinan ini menjadi sebaliknya dalam masa terdekat ini walaupun akan pulih pada akhirnya.”
Demikian luahan bekas Naib Presiden sebuah hotel tempatan dan hanya mahu dikenali sebagai Christopher Lee yang kini menjadi pemandu sepenuh masa perkhidmatan e-panggilan Grab selepas diberhentikan kerja pada Julai lepas.
Realitinya, Lee tidak bersendirian kerana nasib sama turut dialami berjuta-juta pekerja sektor perhotelan di serata dunia susulan penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pintu sempadan ditutup manakala kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan bagi membendung penyebaran virus tersebut.
Menurutnya, susulan kehilangan 80 peratus pendapatan dan wang simpanan yang kian susut, beliau terpaksa menggunakan dana persaraan demi menampung perbelanjaan harian.
“Kehidupan serba-serbi payah sekarang. Saya hanya mampu berdoa agar keadaan menjadi lebih baik selepas ini,” katanya yang berusia awal 40-an.
Ketika mengulas keadaan itu, Persatuan Hotel Malaysia (MHA) memberitahu Bernama bahawa pihaknya telah mengesan kira-kira 90 buah hotel yang telah menutup operasi secara kekal atau sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.
“Ini secara langsung telah menjejaskan lebih 7,000 pekerja serta industri ini secara meluas dengan lebih 12,000 orang telah diberhentikan manakala yang lain sama ada dipotong gaji atau diminta bercuti tanpa gaji,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAH, Yap Lip Seng.
Beliau yang juga CEO Pusat Latihan dan Pendidikan MAH (MAHTEC) berkata, berikutan keadaan yang kian meruncing, kadar penginapan hotel dijangka susut atau lebih rendah daripada yang pernah dialami pada Mac dan April, 2020.
Kadar penginapan bagi Januari 2021 merosot ketara sehingga 20 peratus sejurus pengumuman mengenai pelaksanaan PKP 2.0 manakala pembatalan tempahan turut direkodkan di seluruh negara, termasuk bagi tempoh sambutan Tahun Baru Cina akan datang.
Malah, bagi setiap dua minggu pelaksanaan PKP 2.0, industri hotel dijangka mengalami kerugian hasil lebih RM300 juta.
“Secara purata, tempoh suku pertama 2021 dijangka lebih rendah daripada 20 peratus dan hotel-hotel pula sekali lagi terpaksa membuat pertimbangan sukar untuk menutup operasi selepas mengalami kerugian kewangan sejak hampir setahun lamanya.
“Kita juga menjangkakan lebih banyak hotel akan ditutup yang menyebabkan ramai kehilangan kerja,” katanya.
Cabaran Global
Negara-negara jiran juga tidak terkecuali berdepan tekanan sama sepertimana yang dialami oleh Malaysia.
Thailand dan Indonesia yang merupakan negara tumpuan pelancong, terjejas teruk akibat pandemik tersebut yang menyebabkan perniagaan terpaksa ditutup, hutang semakin menimbun serta pemberhentian pekerja secara besar-besaran.
Wilayah-wilayah di Thailand yang hasilnya bergantung hampir sepenuhnya kepada pelancongan seperti Phuket, Pattaya, Koh Samui, dan pulau-pulau di Teluk dan Laut Andaman serta kawasan pelancongan di sekitar Bangkok menyaksikan sehingga 90 peratus perniagaan berkaitan pelancongan telah menutup operasi, demikian menurut Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand.
Perniagaan tersebut merangkumi penginapan, agensi pelancongan, restoran, sewa kereta dan basikal serta perkhidmatan pengangkutan awam.
Selain itu, kira-kira 34.7 peratus berkata mereka telah menutup terus perniagaan tersebut.
Jika diamati, pelancongan merupakan sektor penyumbang utama kepada pekerjaan di Thailand iaitu menyumbang satu daripada enam pekerjaan dengan sumbangan 22 peratus kepada keluaran dalam negara kasarnya (KDNK).
Indonesia pula yang diberi jolokan sebagai ‘Syurga Asia Tenggara,’ menyaksikan lokasi utama tarikan pelanconganya seperti Bali, Yogyakarta dan bandar raya Jakarta, turut terjejas teruk akibat pandemik tersebut.
Walaupun negara itu tidak mengenakan sebarang sekatan pergerakan, kedatangan pelancong asing turun mendadak berikutan sekatan perjalanan global bagi membendung penularan COVID-19.
Menurut perangkaan republik itu, sehingga separuh pertama 2020, industri pelancongan Indonesia mencatatkan kerugian kira-kira 85 trilion rupiah (US$6.05 bilion) dengan berjuta-juta pekerja hilang mata pencarian.
Malaysia: Impak kepada industri dan pasaran pekerjaan
Di peringkat tempatan, beberapa hotel dan agensi pelancongan terpaksa menghentikan operasi dan membawa kepada gelombang pemberhentian kerja dalam industri pelancongan.
Menurut MAH, selepas mengalami kerugian hampir setahun, industri tersebut kini sukar untuk mengekalkan operasi masing-masing.
“Jika perlu, pihak berkepentingan terpaksa memilih jalan untuk menutup operasi berikutan hotel tidak mempunyai aliran tunai atau simpanan lagi,” katanya.
Menurut statistik, dengan purata kadar penginapan sebanyak 27.51 peratus pada 2020 dan purata kadar harian (ADR) sebanyak RM196.69, industri mengalami kerugian pendapatan sebanyak RM6.53 bilion.
Pada Mac dan April sahaja, kadar penginapan mencatatkan satu angka — masing-masing sebanyak 8.86 peratus dan 9.63 peratus, dengan kerugian dicatatkan sebanyak RM767.85 juta dan RM579.88 juta.
Yap menegaskan sebagai industri yang berteraskan kepada tenaga kerja dan perkhidmatan, antara beban aliran tunai utama hotel ialah gaji pekerja dan Program Subsidi Upah semasa tidak mencukupi serta tidak memenuhi keperluan sebenar industri.
“Pihak berkepentingan swasta hanya dapat menguruskan operasi dan kosnya sendiri untuk terus bertahan, selain industri bergantung kepada perancangan kerajaan.
“Kita memerlukan pelan tindakan ke hadapan segera mengenai pembukaan semula sempadan bermula dengan koridor perjalanan selamat terpilih serta keperluan sewajarnya seperti insurans khas, deposit penjagaan kesihatan, garis panduan pengesanan pergerakan. Turut diperlukan adalah mekanisme untuk memastikan gangguan jadual perjalanan yang minimum selain kekal di bawah pemantauan rapi pihak berkuasa kesihatan,” katanya.
Beliau menjelaskan industri hotel juga terbuka kepada idea untuk dijadikan lokasi menempatkan pesakit positif dengan gejala ringan atau tidak, tertakluk kepada keperluan dan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), seperti yang dilakukan sebelum ini untuk tujuan kuarantin rakyat Malaysia yang pulang sejak April tahun lepas.
Bagaimanapun, kerajaan masih belum memulakan perbincangan mengenai idea ini.
“Pihak hotel telah menawarkan produk dan perkhidmatan yang kreatif untuk terus mengekalkan operasi seperti pakej bekerja dari hotel apabila hotel menggunakan sumber dari aspek restoran hingga bilik dengan matlamat untuk menjana pendapatan tambahan.
“Skop penghantaran makanan, bagaimanapun tidak mencukupi untuk menampung kerugian yang ditanggung oleh hotel pada masa ini. Bagi terus bertahan, usaha ini dilakukan untuk memastikan pekerja mempunyai pekerjaan dan paling penting adalah untuk membayar gaji,” katanya.
Perjalanan Panjang Untuk Pulih
Empat tahun, itulah tempoh yang diperlukan untuk industri pelancongan pulih daripada pandemik yang mengorbankan banyak nyawa walaupun program pemberian vaksin kini telah bermula di seluruh dunia.
Pada 2019, sektor pelancongan menyumbang 15.9 peratus (RM240 bilion) kepada KDNK manakala bagi 2020 ia dijangka mengalami kerugian keseluruhan bernilai lebih RM100 bilion.
Sementara itu, Profesor Ekonomi di Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata pelancongan, hotel, restoran, hospitaliti dan industri berkaitan acara akan menghadapi kerugian yang lebih teruk selain pemulihan yang lebih perlahan berbanding dengan sektor-sektor lain ekoran sekatan perjalanan dan berkaitan kesihatan awam.
“Perniagaan yang tidak lagi dapat bertahan susulan kerugian yang ditanggung, walaupun bantuan kerajaan disediakan menerusi lima pakej COVID-19, mungkin terpaksa menutup operasi mereka buat sementara waku atau selama-lamanya.
“Berikutan peningkatan kerugian, saiz operasi lebih kecil akan membawa kepada pemberhentian pekerja dan penutupan dengan pelbagai langkah PKP yang dilanjutkan manakala kadar penginapan hotel juga kekal berada di bawah paras pulang modal,” katanya.
Beliau berkata pemulihan kebanyakan ekonomi bergantung kepada kejayaan membendung pandemik, dengan prospeknya yang semakin baik susulan ketersediaan vaksin.
“Pelaksanaan vaksinasi secara berkesan dan mampu menampung jumlah penduduk bagi mengekang virus atau mengurangkan risikonya kepada tahap yang membolehkan aktiviti harian lazim dilakukan semula, akan menjadi faktor utama ke arah pembukaan sempadan dan normalisasi aktiviti perjalanan dan pelancongan antarabangsa.
“Negara-negara yang memperoleh vaksin dan melaksanakan usaha vaksinasi secara besar-besaran untuk mengekang virus itu akan memiliki kelebihan dalam mencatatkan pemulihan lebih pantas bagi aktiviti perjalanan dan pelancongan,” katanya.
Malaysia dijangka memperoleh vaksin pertama Pfizer BioNTech bulan depan dan melaksanakan fasa vaksinasi yang dimulakan dengan petugas barisan hadapan.
Negara ini juga akan menerima vaksin daripada AstraZenecca dan Sinophram untuk memenuhi keperluan vaksin rakyat awam dan kini sedang menjalankan ujian klinikal bagi vaksin tersebut.
Orang awam pula dijangka menerima usaha vaksinasi pada suku keempat tahun ini.
— BERNAMA