KUALA LUMPUR, 5 Feb — Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along menerusi serbuan di Shah Alam, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kesemua suspek yang berperanan sebagai pengutip hutang itu memberi ugutan membakar dan menyimbah rumah dengan cat terhadap seorang wanita yang didakwa enggan membayar wang pinjaman bernilai RM11,000 pada 15 Jan lepas.
Beliau berkata semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan kesemua suspek ditahan reman empat hari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik licik along yang mempromosikan tawaran pinjaman wang melalui pelbagai cara seperti menawarkan kadar pinjaman 20 hingga 30 peratus sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata golongan berpendapatan sederhana dan rendah selain peniaga kecil sering menjadi mangsa along kerana syarat pinjaman wang yang mudah namun, tanpa disedari tindakan menerima tawaran pinjaman itu akan mengundang padah kepada mangsa.
Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang lelaki berumur lingkungan 30-an ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Persiaran Jati, Seksyen 7, Kota Damansara di sini, malam tadi.
Nik Ezanee berkata dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, suspek penunggang motosikal jenis Honda Wave merempuh SJR berkenaan dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan di jalan Persiaran Surian sejurus selepas kejadian.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ditahan reman dua hari untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967,” katanya.
Sementara itu, seorang lelaki berumur 27 tahun ditahan kerana terbabit dengan jenayah samun dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Ria, Taman Medan di sini, semalam.
Nik Ezanee berkata pihaknya merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti samun dan sebuah motosikal dalam operasi kira-kira 8.45 malam.
“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau dan turut mengaku terbabit dalam dua kes jenayah samun di sekitar Petaling Jaya,” katanya.
Menurutnya, suspek ditahan reman dua hari dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA