KUALA LUMPUR, 26 Feb — Menteri-menteri Ekonomi ASEAN akan terlibat dalam perbincangan mengenai pembangunan usaha pemulihan pasca-COVID-19 di peringkat kebangsaan dan serantau di Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-27 yang akan berlangsung secara maya dari 2 hingga 3 Mac, 2021.
Tahun ini, Brunei Darussalam akan menjadi Pengerusi ASEAN 2021 dengan tema “We Care, We Prepare, We Prosper” (Kami Peduli, Kami Bersedia, Kami Sejahtera), ia memberi bermaksud kepentingan untuk menjaga kesejahteraan rakyat, mempersiapkan peluang dan ketidaktentuan yang mungkin berlaku pada masa depan, serta memakmurkan bersama-sama sebagai wilayah yang bersatu.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata menteri-menteri ekonomi juga akan membincangkan mengenai pelbai usaha pemulihan terutama berkaitan Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan pelan pelaksanaannya serta strategi lain yang berkaitan dalam merangsang pemulihan dan daya tahan ekonomi serantau.
Pemukiman AEM yang merupakan mesyuarat pertama yang dijadualkan berlangsung bagi para Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN, ia juga akan membincangkan mengenai ‘Priority Economic Deliverables’ (Keutamaan Penyampaian Ekonomi) pada mesyuarat yang dipengerusikan Brunei itu, pengoperasian Pelan Tindakan Komuniti ASEAN (AEC) 2025, perkembangan terkini mengenai hubungan ekonomi luaran ASEAN.
Para menteri juga akan membincangkan cadangan yang dibuat oleh Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi mengenai Integrasi Ekonomi (HLTF-EI) kepada AEM, serta keputusan yang dibuat oleh para pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN, November lepas.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi Malaysia untuk mesyuarat tersebut.
“Malaysia memberikan sokongan sepenuhnya kepada Brunei Darussalam yang akan mempengerusikan mesyuarat itu dan berharap dapat menjalin koordinasi dan kerjasama yang lebih erat dengan semua negara anggota ASEAN dalam melaksanakan langkah-langkah pemulihan ekonomi, serta meneruskan agenda integrasi ekonomi serantau seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan AEC 2025 serta membentuk masa depan AEC selepas 2025,” kata MITI.
Rundingan tahunan dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) juga akan diadakan pada pemukimanan AEM tersebut.
“Ketika ASEAN menilai sokongan dan sumbangan daripada pihak berkepentingan seperti sektor swasta dalam mengemudi agenda AEC, platform ini juga menyediakan pertukaran idea yang konstruktif untuk bersama-sama mewujudkan usaha pemulihan serantau melalui pelaksanaan ACRF pada masa yang paling sesuai dan bermakna, ia akan menguntungkan masyarakat ASEAN,” katanya.