Terdapat pelbagai jenis mikroorganisma (hidupan mikro) yang boleh menyebabkan masalah jangkitan kuman pada tubuh badan manusia.
Ini termasuklah:
- Bakteria
- Virus
- Kulat
- Parasit
Dalam konteks penyebaran dalam kalangan manusia, ia boleh berlaku melalui pelbagai cara. Antaranya adalah:
Artikel ini akan membincangkan perihal penyakit berjangkit dan langkah pencegahan berkesan untuk memastikan tahap kesihatan anda sentiasa berada pada paras yang optimum.
Siapakah yang berisiko untuk mendapat jangkitan kuman?
Umumnya, tiada sebarang bentuk ‘diskriminasi’ apabila ia berkaitan dengan jangkitan kuman.
Sesiapa pun boleh dijangkiti oleh bakteria, virus, parasit mahupun kulat.
Walau bagaimanapun, badan manusia dilengkapi dengan sistem imun yang melindunginya daripada jangkitan mikroorganisma.
Sebarang penyakit atau keadaan yang boleh mempengaruhi integriti sistem imun manusia boleh meningkatkan risiko jangkitan dalam kalangan mereka yang terlibat.
Antara individu yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan adalah:
- Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah. Ia boleh berlaku akibat jangkitan serta penyakit kronik, implikasi rawatan kanser dan mereka yang terlibat dengan prosedur pemindahan organ.
- Individu yang tidak mengambil vaksin penyakit berjangkit yang lazim didiagnosis mengikut keadaan atau lokasi tertentu.
- Pekerja kesihatan yang terdedah kepada pelbagai jenis ancaman kuman.
- Individu yang mengembara atau pergi ke kawasan berisiko tinggi akibat pendedahan terhadap vektor jangkitan seperti nyamuk yang boleh membawa penyakit berjangkit. Antaranya adalah virus denggi, malaria dan zika.
Apakah simptom yang boleh dialami oleh mereka yang menghidap jangkitan kuman?
Bergantung kepada sistem badan manusia, jangkitan kuman boleh dimanifestasikan melalui simptom yang spesifik terhadap sistem tersebut.
Sebagai contoh, bagi kuman yang menjangkiti sistem pernafasan manusia seperti virus influenza, pesakit boleh menunjukkan simptom berikut:
- Demam
- Seram sejuk
- Hidung tersumbat
- Batuk
- Selesema
- Kelesuan
- Sakit badan
- Pening kepala
Bagi kuman yang menjangkiti sistem gastrousus seperti Shigella pula, simptom yang dialami pesakit boleh jadi seperti berikut:
- Cirit birit berdarah
- Muntah
- Loya
- Demam
- Dehidrasi
- Kejutan
- Sakit perut/abdomen
- Kekembungan
Sukar untuk kita kenal pasti bakteria secara spesifik dengan hanya memeriksa simptom tanpa melibatkan komponen lain seperti sejarah pesakit dan keputusan ujian makmal.
Oleh sebab itulah, penting bagi setiap individu untuk menghadirkan diri ke klinik jika mendapat simptom jangkitan.
Pemeriksaan lengkap boleh membantu doktor mengesahkan diagnosis dan rawatan spesifik boleh diberikan bagi membantu pesakit untuk sembuh.
Apa yang menyebabkan masalah jangkitan dalam badan manusia?
Seperti yang anda sedia maklum, jangkitan kuman boleh berlaku apabila terdapat hidupan mikro yang masuk ke dalam badan manusia menyebabkan perubahan patologi.
Antaranya adalah:
- Virus yang boleh menceroboh masuk dan menjalani proses replikasi di dalam sel badan yang sihat.
- Bakteria atau hidupan sel tunggal yang boleh menyebabkan penyakit.
- Kulat yang pelbagai jenis.
- Parasit, hidupan yang menetap di dalam badan manusia menyebabkan masalah kesihatan.
Jangkitan kuman boleh tersebar melalui beberapa cara. Ia bergantung kepada sistem yang terlibat dengan hidupan mikro tersebut.
Umumnya, penyebaran kuman boleh berlaku melalui sentuhan kulit ke kulit (termasuklah hubungan seks) dan fomit (bahan yang tercemar dengan kuman).
Ada juga jangkitan yang boleh tersebar melalui bendalir badan seperti darah dan air liur.
Bagi kuman yang menjangkiti sistem pernafasan manusia, kaedah penyebaran lebih tertumpu kepada titisan air/udara yang keluar semasa pesakit sedang batuk atau bersin.
Titisan tersebut akan berlegar-legar dalam satu tempoh masa yang singkat sebelum ia mendarat pada kulit individu lain atau disedut masuk ke dalam paru-paru semasa proses pernafasan.
Segelintir penyakit peparu seperti batuk kering (tuberkulosis) dan virus rubella tersebar melalui udara.
Bagi jangkitan tersebut, agen penyakit akan tersebar dalam bentuk partikel kecil di udara untuk satu tempoh masa yang lama.
Perkara ini membuatkan ia lebih berbahaya jika dibandingkan dengan kuman yang tersebar melalui titisan air/udara.
Bagaimanakah jangkitan kuman didiagnosis dan dirawat?
Walaupun masalah jangkitan boleh dikenal pasti berdasarkan kepada simptom, ia bukanlah satu tanda yang boleh diharap.
Doktor akan bergantung kepada ujian makmal bagi mendapatkan pengesahan diagnosis sebelum rawatan boleh dipreskripsikan kepada pesakit.
Antara sampel klinikal yang akan dikutip untuk tujuan pemeriksaan adalah seperti berikut:
- Darah.
- Air kencing.
- Najis.
- Kahak.
- Cecair tulang belakang.
- Bendalir lain yang berkait dengan proses patologi kuman.
Ada juga keadaan di mana doktor perlu menghantar sampel pesakit ke makmal untuk tujuan pengkulturan kuman bagi mengesahkan maklumat spesiesnya.
Dalam konteks tersebut, pemberian ubat dan prosedur rawatan spesifik mungkin akan ditangguhkan sehingga jenis jangkitan telah dikenal pasti.
Rawatan bagi jangkitan kuman bergantung kepada hidupan mikro apa yang menjangkiti dan tindak balasnya terhadap rawatan tertentu.
- Jika jangkitan bakteria, rawatan menggunakan antibiotik boleh membunuhnya dan memulihkan pesakit.
- Jika jangkitan virus, rawatan lebih bersifat paliatif (fokus kepada simptom) seperti rehat, ubat demam (jika perlu) dan meningkatkan pengambilan air. Jika seseorang itu terdedah kepada komplikasi teruk pemberian ubat antiviral boleh dilaksanakan mengikut kepada situasi klinikal.
- Rawatan bagi jangkitan kulat dan parasit pula melibatkan penggunaan ubat antikulat seperti fluconazole dan antiparasit seperti mebendazole.
Rawatan hanya akan dipreskripsikan kepada pesakit mengikut kepada spesies kuman dan tindak balasnya terhadap rawatan yang bakal diberi.
Perkara ini penting terutamanya bagi jangkitan bakteria. Antibiotik yang diberi hanya efektif kepada jenis bakteria tertentu.
Lebih rumit lagi, terdapat juga spesies bakteria yang rintang terhadap rawatan antibiotik umum dan memerlukan antibiotik khas yang lebih kuat.
Apakah langkah pencegahan yang boleh diambil?
Bagi sesetengah jangkitan terutamanya bagi jangkitan virus, penggunaan vaksin boleh menghindarkan pelbagai jenis penyakit serius seperti hepatitis, difteria, influenza dan herpes.
Badan kesihatan global seperti Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM, konteks tempatan) sentiasa mengemaskini saranan bagi program vaksinasi untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.
Tujuan kemaskini tersebut adalah untuk memastikan protokol vaksinasi sejajar dengan penemuan klinikal terbaru.
Jika anda hendak mengembara ke kawasan yang mempunyai jangkitan endemik, anda juga disarankan untuk mendapatkan nasihat doktor jika ada vaksin spesifik yang perlu anda ambil.
Selain daripada vaksin, langkah lain yang boleh mengurangkan risiko jangkitan adalah:
- Cuci tangan menggunakan air dan sabun secara kerap.
- Tutup mulut dan hidung semasa bersin atau batuk.
- Menyahjangkitkan kawasan yang selalu disentuh di rumah atau kawasan kerja.
- Elak daripada bersentuhan dengan orang sakit atau berkongsi barang dengan mereka.
- Jangan minum atau berenang dalam sumber air tercemar.
- Jangan makan atau minum jika makanan atau minuman disediakan oleh orang sakit.
Konklusi
Jangkitan kuman boleh memberikan implikasi negatif terhadap produktiviti dan kualiti hidup seseorang.
Jika anda mengalami sebarang simptom jangkitan, ambil langkah berjaga-jaga agar kadar penyebarannya dapat diminimumkan.
Ini termasuklah menjaga jarak sosial, memakai topeng muka, tidak melakukan hubungan seks dan sebagainya, bergantung kepada modus penyebaran kuman tersebut.
Sekiranya anda mempunyai persoalan lanjut, sila ajukan kepada doktor bertauliah untuk khidmat nasihat kesihatan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.