KOTA BHARU, 15 Mac — Penyerang import Kelantan United (KUFC) Gassama Alfusainey semakin ‘bersemangat’ untuk memburu jaringan awal dan memastikan kemenangan buat pasukannya ketika menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam kempen Liga Premier, petang esok.
Pemain dari Gambia yang mencipta kejutan menjaringkan gol terpantas Liga Malaysia (Liga-M) 2021 setakat ini berkata kelebihan beraksi di laman sendiri di Stadium Sultan Muhammad IV akan dimanfaat sebaik mungkin untuk pastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.
“Kita boleh berikan mereka kejutan (dengan gol pantas) jika kita bekerjasama dan memberi tumpuan 100 peratus dalam perlawanan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penyerang berusia 26 tahun itu menjaringkan gol hanya selepas 33 saat perlawanan berlangsung yang juga gol terpantas setakat ini dalam kempen Liga-M 2021.
Gassama berkata gol terpantas dan kemenangan 2-1 ke atas Perak II itu menjadi pembakar semangat buat dirinya bagi membantu KUFC mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan esok.
Sementara itu, Penolong Pengurus KUFC Nik Khuzaimi Nudin mengingatkan para pemain agar tidak dibuai dengan dua kemenangan berturut-turut di tempat sendiri selepas menewaskan PDRM dan Perak II sebelum ini.
“Pemain sebaliknya perlu mengekalkan prestasi cemerlang pada perlawanan menentang JDT ll. Pemain perlu segera perbaiki kelemahan yang ada supaya kita dapat meraih kemenangan petang esok,” katanya
Nik Khuzaimi berkata jadual padat dengan perlawanan berselang tiga hari memang memenatkan namun beliau yakin pasukan KUFC mampu melakar kemenangan ke atas skuad Harimau Selatan itu.
“Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan…yang penting pemain perlu fokus dengan setiap arahan jurulatih dan menggunakan setiap kelebihan untuk meraih keputusan positif,” katanya.
KUFC kini menghuni kedudukan kelima Liga Premier 2021 selepas tiga perlawanan dengan mengumpul enam mata setelah mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan.
— BERNAMA