CYBERJAYA, 26 Mac — World Gloves International Group City & Development Hub (WGC) akan melabur kira-kira RM100 juta untuk membina kilang pembuatan sarung tangan, sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan hab pengeluaran sarung tangan dengan ekosistem berkaitan menjelang 2025 yang dikenali sebagai World Glove City.
Pengasas bersama WGC, Datuk Seri Desmond Lim berkata pembangunan itu yang terletak berhampiran Kuantan, Pahang, akan mengeluarkan sarung tangan nitril, lateks serta vinil untuk pasaran global dan akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal sarung tangan terbesar di dunia, yang mana, sekarang ini ia menyumbang sejumlah 60 peratus daripada eksport global.
”Pelaburan RM100 juta hanya untuk fasa pertama yang merangkumi lebih 149.73 hektar dan dijangka siap pada akhir tahun. Pembangunan tersebut membabitkan 10 barisan pengeluaran untuk menghasilkan sarung tangan nitril, dengan kapasiti pengeluaran sehingga 200,000 sarung tangan sebulan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan projek itu di sini hari ini.
Pengumuman itu juga termasuk pembentukan perkongsian utama dalam pembangunan World Gloves City.
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta WGC telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA), menjadikan MARii sebagai rakan teknologi projek.
Pada masa sama, WGC memeterai perjanjian pajakan dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) bagi memulakan fasa pertama pembangunan World Gloves City menjelang Jun depan.
World Gloves City dijadualkan untuk menjadi ekosistem yang lengkap bagi keseluruhan rantaian nilai sarung tangan termasuk produk peralatan perlindungan diri, yang membabitkan pembangunan bandar digital serta pintar, yang mampu memenuhi permintaan global masa depan melalui rangka kerja pintarnya yang merangkumi infrastruktur, mobiliti, tadbir urus, teknologi, kehidupan pintar dan perdagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata projek ini akan menyaksikan penggunaan teknologi canggih dalam pembuatan sarung tangan bagi memenuhi permintaan global masa depan dan juga melangkaui kehidupan dan perdagangan pintar.
“Kerjasama ini akan membuka laluan untuk kemunculan lebih banyak perniagaan serta kepakaran dalam bidang peralatan perubatan termasuk meluaskan aplikasi pembuatan pintar dan Industri 4.0 sektor berkenaan bagi kekal mampan serta berdaya saing,” katanya.
Lebih separuh daripada kawasan di bawah fasa pertama akan dibangunkan dengan taman perindustrian yang mampu menampung 750 kilang yang dilengkapi dengan bilik bersih, makmal kimia, pembungkusan dan pergudangan.
Kilang-kilang ini akan menggunakan aplikasi pembuatan pintar, sistem pelaksanaan pembuatan, robotik, simulasi kejuruteraan, analisis data besar dan sistem Internet Pelbagai Perkara dalam keseluruhan proses pembuatan.
Untuk menyokong pembuatan berskala besar, bandar ini akan menempatkan kemudahan seperti lot kilang pembekal, pelabuhan, loji janakuasa, pusat penyelidikan dan pembangunan, institusi pendidikan serta latihan, pergudangan, kawasan kediaman, rekreasi dan lain-lain untuk menampung populasi 600,000 orang selepas bandar itu dibangunkan sepenuhnya.
— BERNAMA