KUALA LUMPUR, 28 Mac — Perhimpunan Agung UMNO 2020 hari ini bersetuju untuk menyerahkan mandat kepada Presiden dan Majlis Tertinggi parti itu untuk menentukan jeda waktu bagi menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu diputuskan ketika ucapan penggulungan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanyakan persetujuan tentang perkara itu kepada perwakilan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin kemudian bertanya sama ada perwakilan bersetuju atau tidak dengan cadangan tersebut sebelum para perwakilan melaungkan kata setuju.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata cadangan itu dibawa beberapa pengerusi badan perhubungan UMNO negeri yang membahaskan usul ucapan dasar presiden pada perhimpunan secara hibrid itu.
“Saya amat menghargai terdapat pengerusi-pengerusi badan perhubungan terutama negeri Kelantan yang telah menyerahkan kepada perwakilan sekalian untuk menentukan jeda waktu (tempoh) atau timeline bilakah kila harus menarik sokongan kita kepada kerajaan PN.
“Maka kalau difahami bahawa perwakilan telah memberikan mandat kepada presiden dan MT untuk menentukan bahawa kita boleh menarik diri daripada kerajaan PN bila-bila masa jika mereka (kerajaan PN) tidak ada indikasi untuk (adakan) pilihan raya dalam waktu terdekat ,” katanya.