KUALA LUMPUR, 27 April — Westports Holdings Bhd mengendalikan kontena sebanyak 10.5 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), jumlah kedua tertinggi dalam sejarahnya dan hanya tiga peratus lebih rendah daripada jumlah yang dicatatkan tahun lepas, pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020.
Prestasi itu direkodkan ketika tempoh pandemik terburuk berlaku dalam abad ini selain kesan teruk global selanjutnya yang meluas.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Selasa, selepas mesyuarat agung tahunan menerusi penyertaan jarak jauh dan pengundian elektronik, syarikat itu menjelaskan Pelabuhan Barat merupakan pelabuhan pertama dan kekal sebagai satu-satunya di Malaysia yang mengendalikan lebih 10 juta TEU dalam tempoh setahun.
Bagi tahun kewangan 2020 syarikat itu mengumumkan dividen keseluruhan 11.52 sen dan mengagihkan RM393 juta selepas mengamalkan pendekatan berhemat dengan mengurangkan nisbah bayaran buat sementara waktu kepada 60 peratus bagi mengekalkan tunai.
“Syarikat akan kembali kepada nisbah bayaran 75 peratus bagi tahun kewangan akan datang. Sejak tawaran awam awal Westports dilaksanakan pada 2013, syarikat telah mengagihkan dividen keseluruhan bernilai RM3.14 bilion kepada pemegang saham,” jelasnya.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berpandangan pertumbuhan ekonomi sewajarnya pulih pada 2021 selepas pandemik melanda serta menjangkakan kadar pertumbuhan pengendalian kontena sebanyak satu angka.
Pelaksanaan program vaksinasi di seluruh dunia akan mengorak laluan bagi pemulihan aktiviti ekonomi secara beransur-ansur manakala rangsangan fiskal menyokong aktiviti ekonomi di banyak negara, katanya.
“Bagi jangka panjang, sedikit kesesakan yang dialami Westports pada akhir 2020 dan kekangan yang dihadapi banyak pelabuhan di luar negara telah mengesahkan visi kami tentang perlunya melaksanakan cadangan peluasan terminal kontena mega yang telah dirancang sejak beberapa tahun lepas.
“Kemudahan Westports yang diperluas itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian terminal kontena keseluruhan dan menambah ruang pekarangan secara ketara,” katanya.
Beliau berkata peluasan CT17 itu akhirnya akan mengekalkan Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Klang sebagai antara hab pemunggahan ke kapal terkemuka di Asia Tenggara.
— BERNAMA