KUALA LUMPUR, 30 April — Keuntungan bersih MR D.I.Y. Group (M) Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 melonjak sebanyak 113 peratus kepada RM124.79 juta berbanding RM52.46 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2020.
Hasil meningkat 63 peratus kepada RM870.2 juta daripada RM534.09 juta yang direkodkan pada suku yang sama setahun sebelum ini.
Syarikat itu menyifatkan prestasi jualan bulanan purata yang lebih baik bagi setiap kedai, berpunca daripada prestasi kukuh kedai kendirinya termasuk jualan yang lebih rendah dalam tempoh perbandingan tahun lepas disebabkan oleh sekatan yang dikenakan dari 18 hingga 31 Mac.
“Prestasi cemerlang ini juga adalah hasil sumbangan positif daripada kedai baharu, yang mana rangkaian kedainya meningkat 25.5 peratus kepada 788 kedai pada suku pertama 2021 berbanding 628 kedai pada suku pertama 2020,” kata MR D.I.Y. dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y, Adrian Ong berkata sektor peruncitan penambah baik kediaman telah berjaya mengharungi pandemik COVID-19 sehingga membuahkan prestasi suku tahunan syarikat yang paling kukuh setakat ini.
“Rangkaian kedai kami terus berkembang, menjadikan kedai kami mudah diakses pengguna yang terhalang oleh sekatan perintah pergerakan berkaitan pandemik.
“Produk kami telah bertambah kepada kira-kira 18,000 unit penyimpanan stok (SKU) hari ini,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Ong juga berkata syarikat juga merancang untuk melabur bagi pengembangan platform e-dagangnya dan pengurusan kecekapan.
“Ini telah menjadi asas kepada strategi pertumbuhan kami yang terus memberikan hasil yang mantap,” katanya.
Jumlah transaksi MR D.I.Y.bagi suku tersebut meningkat 21.7 peratus kepada 29.9 juta daripada 24.6 juta.
Rangkaian kedai kumpulan itu berkembang dengan 54 cawangan merentasi tiga jenamanya, yang terdiri daripada 30 kedai MR D.I.Y., 22 kedai MR DOLLAR dan dua kedai MR TOY.
— BERNAMA