KUALA LUMPUR, 25 Mei — Anugerah Kecemerlangan Pembangunan iProperty tahunan keempat (iDEA) 2021 oleh iProperty.com.my telah menamakan Mah Sing Group Bhd sebagai pemenang terbesar dengan enam pengiktirafan termasuk anugerah Pembangunan Bangunan Tinggi Terbaik Tahun Ini.
iProperty dalam satu kenyataan memberitahu Mah Sing juga diberi penghormatan untuk menerima penghargaan “Consumer Game Changer” sebagai pemaju yang berjaya mengubah corak serta pemikiran pengguna.
iDEA mengumumkan pemenang dari 32 kategori utama dalam upacara penyampaian maya yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook iProperty.com.my.
Sebagai tambahan kepada 26 kategori yang dinilai, iDEA tahun ini mengumumkan empat anugerah khas yang mengiktiraf kecemerlangan pemaju hartanah, pembangunan termasuk individu yang telah berinovasi dan memberikan sumbangan yang besar kepada industri pembangunan hartanah.
Pemenang-pemenang tersebut adalah Tropicana Danga Cove Sdn Bhd yang merangkul Pembangunan Kediaman Bertanah Terbaik serta Pembangunan Bertanah Selatan Terbaik untuk Ayera Residences, dan Rembawang Holdings Sdn Bhd yang memenangi Pembangunan Bertanah Terbaik Tahun Ini serta Pembangunan Bertanah Mewah Terbaik untuk Teringin @ Sri Ukay.
Sementara itu, Ideal Group Bhd memenangi Pembangunan Bertingkat Tinggi Paling Mampu Milik untuk One Foresta, manakala Sheng Tai International Sdn Bhd merangkul Anugerah Pembangunan Komersial Terbaik untuk The Sail.
“IProperty.com.my dengan bangganya menyediakan platform yang mengiktiraf dan menghargai pemaju hartanah yang memberi inspirasi terhadap keunggulan seni bina, kualiti, reka bentuk dan konsep yang meningkatkan pengalaman hidup pembeli rumah masa kini.
“Kami berharap pengiktirafan ini akan membolehkan pembeli membuat keputusan yang lebih tepat dalam perjalanan hartanah mereka, khususnya bagi memilih hartanah terbaik yang akhirnya, layak dipanggil sebagai kediaman,” kata Pengurus Besar iProperty.com Malaysia Sdn Bhd, Shylendra Nathan.
Beliau menjelaskan 2021 adalah tahun yang mana industri harta tanah tidak lagi berniaga seperti biasa dan ini merupakan hal yang terbaik.
“Pandemik global telah mendorong pencari hartanah Malaysia ke arah platform digital. Rakyat Malaysia telah beralih kepada kemudahan dan keselamatan platform digital bagi mencari hartanah mereka yang sebelum pengalaman berkenaan menerima gangguan pandemik COVID-19.
“Rakyat Malaysia menghabiskan lebih banyak masa di iProperty.com.my semasa pandemik, dengan purata lebih dari lapan minit di laman web kami,” katanya.
Menurut syarikat pengukuran dan analisis media pihak ketiga Comscore, iProperty.com.my adalah laman hartanah nombor satu di Malaysia.
“Kami berharap program vaksinasi yang sedang berlangsung sekarang akan memberikan optimisme yang sangat diperlukan untuk pasaran hartanah tempatan. Memandangkan negara sedang memulakan perjalanan ke arah mencapai kekebalan awam, kami berharap keyakinan pengguna akan meningkat lebih tinggi terhadap pasaran hartanah,” kata Shylendra.
Kredibiliti iDEA dicapai melalui proses penilaian yang ketat dan hasilnya disahkan secara bebas oleh PwC Malaysia, rakan undi iDEA.
iDEA juga mencerminkan kualiti disebabkan kategori penghargaan dan kriteria pemilihan adalah berdasarkan keutamaan pencari hartanah.
Anugerah tersebut bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pencari hartanah dan mendorong lebih banyak pemaju hartanah meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.
— BERNAMA