Pelayar negara, Juni Karimah Noor Jamali pernah membanggakan Malaysia apabila dia dan pasangan duonya, Nuraisyah Jamil berjaya menamatkan acara 470 International Wanita Sukan Olimpik Tokyo pada kedudukan ke-19 keseluruhan daripada 21 pelayar.
Beliau juga pernah mencatat kedudukan ke-5 di 470 Asian Champianship 2019, kedudukan ke-34 bagi acara 470 World Championship 2019. Pernah mencatat tangga ke 35 untuk 470 European Championship 2019 dan kedudukan ke-32 untuk 470 World Cup Series 2019.
Personaliti Aura Mingguan Wanita ini merupakan seorang atlet muda seusia 20 tahun. Keperibadiannya yang mudah didekati, amat menyenangkan sekali.
Juni akui, setiap usahanya dalam kerjaya sukan layarnya itu mendapat sokongan ibunya, Nurisfawati Ismail yang tak berbelah bagi di belakangnya.
“Mak selalu support. Awal-awal dulu mak kadangkala kurang percaya, bila mana selalu ’slow talk’ dengan mak. Akhirnya dia nampak dan maklah yang selalu bagi semangat.
“Sokongan dan semangat yang mak berikan itulah buatkan saya masih stay di sini.” Jelas Juni ketika dihubungi Mingguan Wanita.
Mak Menjadi Tulang Belakang Sejak Dari Kecil
Ternyata peranan ibunya cukup kuat untuk menjadikan apa yang diimpikannya itu. “Mak saya sentiasa benarkan saya mencuba dan selalu menjadi tulang belakang saya.
“Dari kecil mak begitu. Dan itu membuatkan saya lebih bersemangat sampai hari ini.”
Akui Juni, dalam kerjayanya itu pernah juga dirinya menjadi seorang yang takut untuk mencuba. Namun, akhirnya dia sedar, berani mencuba membuatkan dirinya lebih mempelajari perkara yang baru.
“Mak, famili, kawan-kawan, teammeat, coach dan orang sekeliling Juni yang menyebabkan Juni jadi lebih bersemangat sekarang.
“Dan tidak lupa diri Juni yang sentiasa mempercayai diri sendiri.” Biar pun bergelar atlet yang berkhidmat di Kompleks Sukan Perahu Layar Langkawi. Dalam masa yang sama, Juni juga merupakan seorang pelajar di UiTM Arau Perlis.
Baca : Apabila membantu orang jangan harap sebarang balasan, sekalipun waima terima kasih
Semangat Mencukupi Untuk Olimpik Akan Datang
Ketika ini fokusnya tentu membuat persiapan menghadapi Sukan Asia Hangzhou 2022 dan Sukan Plimpik Paris 2024.
“Semangat yang saya ada sekarang adalah mencukupi untuk membuatkan saya bersemangat untuk menempuh Olimpik yang akan datang.” jelasnya yakin.
Untuk mencapai apa yang diharapkan itu, Juni tidak pernah jemu bertanyakan pandangan kepada senior mahupun jurulatihnya. Terutama yang berkaitan dengan sukan yang disertai.
“Dalam sukan pelayaran ini saya masih lagi mencari dan mengumpul pengalaman. Bagi saya, pengalaman, kemahiran yang saya peroleh ini masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.
Malah, saya perlu berusaha lebih lagi untuk maju ke depan. Sebab itulah, saya perlu sentiasa bertanya kepada senior dan juga coach sekiranya mempunyai masalah dan tidak faham tentang sesuatu.”
Wanita Berkongsi Semangat Dengan Wanita Lain – Juni Karimah
Bagi menghadapi kejohanan yang mendatang tentunya memerlukan usaha yang berterusan dan konsistensi yang cukup mantap.
“Cabaran yang saya hadapi adalah sejauh mana persiapan kita nak dibandingkan dengan pihak lawan. Adakah kita bersedia untuk bertanding dan itulah yang menjadi pertanyaan setiap kali ingin menghadapi kejohanan besar.”
Ini yang Juni kongsikan tentang mengapa wanita perlu menjadi inspirasi kepada wanita yang lainnya.
“Wanita perlu menjadi inspirasi kerana kita dapat membuka mata wanita-wanita di luar sana bahawa wanita juga dapat melakukan sesuatu yang membawa hasil.
Wanita perlu menjadi inspirasi kerana wanita bila bersama wanita akan dapat memberi semangat antara satu sama lain.”