10 senarai semak wajib sebelum mendirikan rumah tangga ini akan membantu menjadi panduan kepada bakal-bakal suami isteri akan datang. Tak mudah nak hidup sebagai pasangan suami isteri yang bahagia pada zaman penuh mencabar ini.
- Kenali pasangan dan keluarga mereka
Bila nak berkahwin, kenalilah bakal pasangan dan keluarga mereka sebaiknya. Berkahwin bukan dengan bakal pasangan sahaja, tetapi anda umpama berkahwin dengan keluarga mereka juga. Ramai pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga tidak mengenali keluarga besar bakal pasangan mereka. Akhirnya selepas berkahwin terasa asing dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya keluarga baru mereka. Belajarlah tentang budaya keluarga mereka untuk lebih mesra. Amat penting untuk ketahui ideologi politik, latar belakang keluarga, akademik dan lain-lain supaya hubungan anda dengan keluarga mertua menjadi akrab.
- Bincang dengan bakal pasangan tentang bajet perkahwinan
Nak kahwin memang seronok. Selalunya seronok sampai terlupa buat bajet perkahwinan. Bajet akan menentukan kecil, sederhana atau besar majlis yang anda perlukan. Ingat ye, jika bajet sederhana jangan mengidamkan majlis perkahwinan yang bermewah-mewah kerana anda sendiri yang akan menanggung hutangnya nanti. Dah set siap-siap barulah mulakan pelan tindakan anda berdua. Perkahwinan yang meriah bukan semestinya bermahal-mahal, yang penting anda tidak tanggung masalah selepas berkahwin.
- Hala tuju bahtera rumah tangga
Tidak ramai pasangan yang nak berkahwin berbincang tentang matlamat perkahwinan mereka. Mereka menganggap berkahwin untuk suka-suka sahaja atau sekadar memadu asmara seperti dalam drama. Itu tanggapan yang tidak tepat. Perkahwinan adalah sebahagian suruhan agama dan sunnah Rasulullah, maka ianya perlukan matlamat yang jelas untuk membentuk institusi keluarga yang mengikut ajaran Islam. Seorang suami perlu jelas tentang visi dan misi menuju keluarga sakinah, dan seorang isteri perlu bersedia berkorban untuk taat Allah dan suami.
- Elakkan pinjaman bank untuk majlis kahwin
Ini dah jadi trend masa kini. Tambahan pihak bank pula boleh menyediakan pinjaman peribadi untuk anda dengan mudah, jadi pastikan anda tidak masuk perangkap ini. Bank tak salah, yang salah adalah anda yang tidak ukur baju di badan sendiri. Kalau anda sudah merasa perit jerih bayar rumah sewa, ansuran kereta, petrol dan tol, mengapa pula anda boleh terfikir untuk tambahkan hutang perkahwinan. Dah beranak-pinak pun anda akan masih dibebani hutang perkahwinan. Jadi berusahalah sedaya mungkin untuk tidak pinjam bank. Ada banyak cara anda boleh berusaha.
- Jangan habiskan duit hantaran
Masih ada sebahagian bakal pengantin yang bijak. Hantaran kahwin tidak perlu dibelanjakan semuanya. Zaman hari ini zaman meleset. Anda masih boleh jadikan sebahagian hantaran kahwin dalam bentuk bar emas, barang kemas atau simpanan kepada bakal pasangan anda. Sekurang-kurangnya hantaran tersebut tidaklah dihabiskan semuanya untuk belanja hangus semata-mata. Yang penting ianya dipersetujui secara bersama.
- Set kos sara hidup selepas perkahwinan
Hari yang anda bergambar sakan pada hari perkahwinan, tanpa anda sedari esoknya adalah hari kehidupan keluarga sudah bermula. Bayangkan anda mungkin menghabiskan RM10,000 – RM20,000 hanya pada masa satu hari sahaja. Bagaimana pula dengan hari seterusnya? Untuk anda rasa tidak terbeban kemudian hari, set terus kos sara hidup selepas berkahwin, sekurang-kurangnya sehingga anda dapat anak yang pertama. Di sini anda akan lebih jelas perbelanjaan yang bakal ditanggung, dan anda akan rasa betapa ruginya menghabiskan beribu-ribu dalam masa satu hari.
- Belajar mengurus rumah tangga
Urus rumah tangga bukan tugas isteri sahaja. Suami perlu tahu urus juga. Suami tidak boleh serahkan tugas mendidik dan membesarkan anak-anak hanya pada si ibu. Semuanya perlu berkemahiran dalam soal ini. Inilah dinamakan persefahaman. Jika suami bekerja isteri membantu di rumah, jika isteri bekerja begitulah juga pada sang suami. Anda berdua saling melengkapkan antara satu sama lain. Kesilapan terbesar anda bakal lakukan ialah tidak menyedari perkara ini walaupun sudah bergelar suami isteri.
- Persiapkan diri dengan ilmu keibubapaan
Selepas berkahwin, logiknya anda akan menimang si manja. Jika anda masih tidak sedarkan perkara ini, maka anda akan melalui fasa membesarkan anak-anak dengan sukar sekali. Ini belum lagi diambil kira fasa mendidik dan menbentuk anak-anak mengikut garis panduan agama. Jadi persiapkanlah diri dengan ilmu-ilmu keibubapaan. Tingkatkan naluri keibuan dan kebapaan agar kehadiran si manja menjadikan hidup anda lebih bermakna.
- Utamakan yang wajib
Dalam Islam, majlis akad nikah adalah wajib. Jadi utamakan yang utama. Majlis kenduri adalah tuntutan dalam Islam. Maka laksanakanlah dengan berpada-pada mengikut kemampuan. Jangan berlebihan sehingga mengundang bahana kerana ianya juga dilarang agama. Memang nampak lebih meriah jika majlis perkahwinan dapat dilangsungkan terus selepas pernikahan, namun jika tidak mampu tidak mengapa jika ditangguhkan dahulu. Asalkan yang wajib telah dilaksana, pastinya sebahagian beban dah hilang sebahagian.
- Faham peranan sebagai wali dan ahli keluarga
Ibu bapa bertanggungjawab memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Cuma ibu bapa perlu faham bahawa anda perlu memudahkan urusan anak-anak yang ingin mendirikan rumah tangga. Ibu bapa tidak boleh mengambil manfaat daripada nilai hantaran kahwin atau mas kahwin yang ditetapkan. Permintaan yang sebegini masih ada dalam masyarakat. Perkahwinan adalah hak anak-anak, permudahkanlah urusan mereka nescaya mereka akan menghormati pengorbanan anda sebagai ibu bapa. Dan sebagai keluarga pula, jangan membanding-bandingkan wang hantaran anda adik-beradik kerana pasangan hidup dikurniakan berbeza kemampuan. Tidak semua boleh dipukul rata.