KULIM: Penduduk Kulim kini boleh meningkatkan penggunaan air hujan untuk pelbagai keperluan domestik hasil inovasi sekumpulan kakitangan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK).
Air hujan boleh digunakan bagi tujuan seperti mencuci kereta, membasuh pinggan mangkuk serta menyiram tanaman. Bahkan, air yang sama boleh digunakan untuk pam tandas. Ini banyak membantu menjimatkan air terawat selain menjimatkan bil bulanan air.
Ia juga membantu mengurangkan isipadu air yang memasuki sistem peparitan yang seterusnya mengurangkan risiko berlaku banjir kilat.
Kesemuanya kini boleh dilakukan dengan penapis Keep Free (K-Free) yang dibangunkan oleh MPKK untuk menapis bendasing atau kotoran yang dibawa air hujan daripada bumbung bangunan sebelum ia memasuki tangki simpanan.
Penapis ini boleh dipasang dengan mudah sebagai komponen tambahan kepada Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).
Menjelaskan lanjut kepada Bernama, Penolong Jurutera Awam Jabatan Kejuruteraan MPKK, Farah Izah Abu Hassan berkata; “Memang geram melihat air hujan yang mencurah-curah dibazirkan begitu sahaja. Sedangkan, jika ditadah dan ditapis dengan baik ia mempunyai banyak kegunaan.
TANGANI BANJIR KILAT
Tambah beliau, bayangkan pula jumlah penjimatan pusat-pusat komersial jika sebahagian daripada aktiviti harian mereka menggunakan air hujan yang terkumpul, contohnya sembilan liter air digunakan bagi setiap kali mengepam tandas.
Jadi, penggunaan penapis K-Free dapat mengurangkan pembaziran air terawat selain meningkatkan sumber air yang terus berkurangan akibat perubahan iklim dan masalah pencemaran.
Konsep K-Free adalah selaras dengan pelaksanaan SPAH di mana air hujan dikumpul daripada bumbung dan kemudiannya disalur ke tangki-tangki penyimpanan air hujan sebelum digunakan. Setiap tangki air standard mampu menampung sehingga 400 gelen air hujan.
Ia termaktub dalam peraturan MPPK di mana bagi bangunan kediaman, SPAH perlu dipasang untuk rumah banglo dan rumah berkembar yang mempunyai kawasan bumbung bersamaan atau melebihi 100m2 sahaja. Bagi semua kategori bangunan berasingan pula yang mempunyai kawasan bumbung bersamaan atau melebihi 100m2 juga perlu memasang SPAH.
“Selama ini air hujan yang masuk ke dalam saluran air hujan pada bumbung akan terus disalurkan ke dalam longkang, menyumbangkan kepada banjir kilat terutama di kawasan yang mempunyai longkang cetek atau kecil,” katanya dan menambah kata penadahan air hujan dapat mengurangkan air hujan yang masuk ke longkang.
UJI CUBA PELBAGAI ASPEK
Bercerita lanjut, Farah Izah berkata penapis K-Free merupakan inovasi yang dicipta oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) – sekumpulan Penyelidik Amalan Hijau-Q (SPAH Q) MPKK. KIK terdiri daripada lapan anggota termasuk arkitek, Mohd Nazri Harun sebagai fasilitator, Hasliana Hashim, Irma Salina Mohd Salleh, Abdul Kamal Mohamad Isa, Mohd Naser Saad, Azami Kasim dan Jafry Harun.
Kumpulan itu menjalankan tiga uji cuba dalam pelbagai aspek termasuk mengenalpasti jenis, saiz paip, penapis dan bahan-bahan yang perlu digunakan sebelum berjaya mendapat hasil terbaik pada 2014.
Kumpulan itu, yang diketuai oleh Farah Izah, mengambil masa kira-kira enam bulan untuk membangunkan idea dan mencipta penapis berkenaan dengan uji cuba sulung dilakukan di sebuah tandas awam di Kulim.
Sementara itu, Mohd Nazri berkata, reka bentuk K-Free sangat mudah namun mampu memberi impak yang besar dalam penjimatan air. Kajian di tandas berkenaan mendapati bil tahunan air terawat MPKK menurun daripada RM1,237.50 kepada RM587.56, iaitu penjimatan sehingga 53 peratus.
Kumpulan itu juga mendapati penapis yang terdapat di pasaran sangat mahal, rumit dan perlu penyelenggaraan. Oleh itu, ramai termasuk pengguna komersial tidak berminat untuk mengumpul air hujan walaupun diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan.
GUNA TARIKAN GRAVITI
Penapis K-Free yang antaranya menggunakan komponen penyambung paip UPVC yang boleh ditemui di rumah-rumah dipasang menegak pada saluran paip menurun sedia ada daripada bumbung di mana air hujan disalurkan ke longkang.
Ia menggunakan tarikan graviti sepenuhnya untuk menapis bendasing agar air mengalir dengan sempurna. Penapis itu tidak memerlukan penyenggaraan dengan bendasing dalam air hujan yang ditapis keluar melalui aliran air di hujung bawah penapis itu yang bersambung dengan saluran menurun.
“Penapis K-Free mudah dipasang. Hanya lima langkah untuk memasangnya iaitu dengan memotong paip saluran(down pipe) mengikut ketinggian penapis itu di antara bumbung dan tangki, kemudian pasanglah kedua-dua hujung penapis pada saluran paip itu menggunakan gam PVC,” jelas beliau.
Selepas penapis dipasang pada ‘down pipe’ barulah saluran keluar daripada sisi penapis itu disambung kepada tangki simpanan. Apabila gam pada sambungan paip kering, ia sedia digunakan.
Tambah beliau, saiz penapis K-Free dengan 160mm diameter dan 540mm panjang sangat sesuai dipasang di mana-mana bangunan tanpa mencacatkan keindahan reka bentuknya.
“Bukan itu saja, penapis yang diperbuat daripada paip UPVC itu tahan lama dan tidak mudah reput atau pecah. Malah ia mempunyai jangka hayat sehingga 50 tahun.
MENJUAL SECARA KOMERSIAL
Walaupun mereka menghadapi sedikit cabaran untuk mempatenkan K-Free memandangkan terdapat ratusan jenis penapis yang dicipta di dalam dan di luar negara, akhirnya setelah tiga tahun menunggu, K-Free memperoleh sijil pendaftaran paten pada 5 Okt baru-baru ini.
MPKK telah memasarkan K-Free sejak 2015, namun tidak secara komersial. Setakat ini, 20 unit penapis yang berharga RM500 setiap satu sudah dijual dan kebanyakannya dipasang pada SPAH serta sistem pengepam tandas.
Kini, MPKK berharap dapat mengkomersialkan produk inovatifnya itu ke seluruh negara termasuk kepada pihak-pihak pemaju perumahan, premis-premis syarikat swasta, agensi kerajaan dan kediaman.
“Malah K-Free juga sangat sesuai digunakan di kawasan pedalaman di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak terutamanya kawasan yang kerap mengalami gangguan air atau sistem saliran air terhad disebabkan faktor geografi dan kos bagi mendapatkan air bersih terawat.
“Kelebihannya, kerap hujan di kawasan-kawasan ini. Jadi, kita harap produk ini akan dapat membantu penduduk di kawasan berkenaan menambah kapasiti air simpanan melalui air hujan yang ditapis,” katanya.
Antara tempat yang telah mengguna pakai penapis K-Free setakat kini adalah di Pasaraya Tesco Kulim, tandas awam di Medan Citarasa Kulim dan Pasar Awam Yan, Wisma Darul Aman di Alor Setar dan perumahan di Desa Aman di Kulim.
— BERNAMA
Source link