MERSING: Keadaan banjir di Mersing bukan penghalang buat dua kekasih mengikat tali pertunangan.
Malah, majlis pertunangan itu berlangsung serba ringkas dan sederhana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tenglu.
Pihak perempuan dari Kampung Tenglu Besar, Siti Noor Hidayah Mohd Yusoff berkata, keluarga tidak mahu menangguh majlis pertunangan itu walaupun terpaksa dibuat di PPS.
“Kami tidak boleh tangguh, kena teruskan juga buat di sini dengan apa yang ada. Perasaan bercampur-baur. Ada gembira, reda dan tabah,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Tambah Siti Noor Hidayah, perbincangan mengenai tarikh pertunangan telah dirancang pada November tahun lalu.
Katanya dia sudah memaklumkan kepada pihak lelaki yang berada di Johor Bahru tentang keadaan rumah yang dinaiki air paras dada.
Sementara itu, ibu pihak perempuan, Norina Normat berkata semua persiapan yang telah dibuat termasuk pelamin tunang, musnah dalam banjir.
Katanya hantaran yang dibuat untuk pihak lelaki pula hanya menggunakan barang sedia ada kerana hantaran yang siap sebelum banjir turut rosak.
“Memang susah sebab kita sudah buat persiapan dari awal tetapi terpaksa berpindah dan barang-barang hantaran semua rosak. Hanya dapat selamatkan sedikit sahaja.
“Saya cuba doakan perkara ini berjalan lancar dan pasangan kekal ke syurga,” katanya.
Sementara itu, perkembangan banjir di Johor setakat jam 6 petang tadi meningkat dengan satu pusat pemindahan baru dibuka di Kota Tinggi.