GEORGE TOWN: Dua lelaki yang mengalami simptom seolah-olah seperti hilang kawalan selepas meminum sejenis kopi campuran kini dilaporkan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kedua-duanya yang mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP pada Selasa, kerana mengalami simptom seperti letih dan sangat lemah, dilaporkan tidak mengalami sebarang komplikasi berat.
Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Dr Wan Mansor Hamzah, seramai lima individu telah mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad pemerhatian di HPP sejak 27 hingga 30 Januari lepas.
Kesemua mereka terdiri daripada dua wanita tempatan, masing masing berusia 62 dan 59 tahun, dan tiga lelaki warga Nepal dan rakyat tempatan, masing masing berusia 19, 31 dan 45 tahun.
Bagaimanapun, katanya, tiga daripada pesakit telah dibenarkan keluar wad semalam manakala dua masih dirawat.
Dr Wan Mansor dalam kenyataannya berkata, setakat ini tiada kes baru yang dilaporkan dan kejadian itu juga tidak menyebabkan kematian.
Berikutan kejadian itu, katanya, pihaknya kini menjalankan siasatan terperinci selain membuat beberapa ujian, termasuk ujian darah, ke atas kedua-dua mangsa bagi mengenal pasti punca sebenar.
Pada Selasa, dua lelaki dilaporkan mengalami simptom letih dan lemah yang teruk sehingga terpaksa dirawat di HPP, dipercayai selepas meminum sejenis kopi.
Susulan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang menganalisis sampel kopi yang didakwa menjadi punca beberapa individu mendapatkan rawatan di HPP selepas mengalami simptom letih dan lemah teruk.
“Setakat ini melalui laporan yang saya terima sudah lima orang dimasukkan ke HPP selepas minum kopi campuran ‘durian white coffee’ itu,” katanya terdahulu hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Wan Mansor berkata, siasatan mengenai perkara tersebut juga memerlukan penglibatan agensi-agensi pihak berwajib yang lain.
Dalam masa sama, masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi, termasuk menyebarkan maklumat tidak sahih.
Beliau juga berkata, pihaknya akan mendapatkan sampel kopi berkenaan untuk dianalisa bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman tersebut atau sebaliknya.
Video dua lelaki dilihat berada dalam keadaan separuh sedar ketika sedang menerima rawatan tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp sejak petang Selasa.