RASANYA, keluarga Malaysia yang kini menetap Birmingham, United Kingdom (UK) ini tidak perlu diperkenalkan lagi.
Gelagat bijak tiga beradik, Fatimah, Ali dan Omar, menerusi akaun Instagram yang dikendalikan ibu bapa mereka, @thefamily.uk, menjadi hiburan yang menceriakan.
Terbaru, satu video dimuat naik ke akaun Instagram itu yang memaparkan keletah Ali yang melakukan role play sebagai doktor, cuba merawat masalah alergi yang dihadapi kakaknya, Fatimah.
Apa yang menggeletek hati ramai bukan sahaja aksi comel kedua-dua mereka, tetapi juga penggunaan perkataan ‘gapoever‘ yang digunakan Fatimah.
Ali sebelum itu memberikan bermacam-macam nasihat kepada kakaknya, antaranya ‘berhenti makan piza, biar saya sahaja habiskan piza’.
Reaksi Fatimah di penghujung video itu spontan, apabila melontarkan perkataan ‘gapoever‘ kepada Ali.
Ketika artikel ini ditulis, video yang dimuat naik ke akaun yang memiliki lebih 338,000 pengikut itu sudah menerima lebih 100,000 tontonan.
Ibu mereka, Nor Ashila Mahamed Ismail, ketika dihubungi memberitahu, ini kali pertama perkataan ‘gapoever‘ digunakan.
“Mereka (Fatimah dan Ali) memang sudah biasa mencampurkan ayat bahasa Inggeris dengan dialek Kelantan.
“Nak diikutkan, ‘gapoever‘ kali pertama digunakan, tapi bukan perkataan pertama yang terhasil dari gabungan bahasa Inggeris dan dialek Kelantan,” katanya.
‘Gapoever‘ merupakan gabungan dua perkataan, ‘gapo’ yang bermaksud apa dalam dialek Kelantan, serta perkataan bahasa Inggeris ever, dan gabungan ini merujuk kepada ekspresi whatever dalam bahasa Inggeris, bermaksud ‘apa sajalah’.
Perkataan itu tiba-tiba sahaja menjadi trending di laman sosial, dan ramai yang tidak dapat menahan rasa lucu tetapi dalam masa yang sama kagum dengan kebijaksanaan dan kreativiti Fatimah.