KLANG: SEORANG lelaki menumbuk juruwang gara-gara tidak dilayan ketika sedang membuat bayaran bil di sebuah premis di pusat beli-belah di Klang pada Ahad lalu.
Kejadian yang berlaku pada hari ketiga perayaan Tahun Baru Cina itu sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.
Rakaman tersebut menunjukkan seorang lelaki berbaju kemeja-T berwarna gelap menumbuk dengan pantas menghala ke arah muka juruwang ketika lelaki itu berada di kaunter bayaran.
Insiden itu bermula apabila lelaki itu memotong barisan di kaunter bayaran kerana ingin bergegas membayar bil, namun dia tidak diendahkan oleh juruwang yang sedang sibuk melayan pelanggan yang sedang beratur.
Disebabkan juruwang tidak diendahkan, lelaki itu bertindak menumbuk muka juruwang itu. Masih tidak berpuas hati, dia berjalan ke belakang kaunter untuk membelasah juruwang tersebut.
Juruwang berkenaan juga mempertahankan diri dengan turut membalas tumbukan lelaki itu.
Insiden pergaduhan itu sempat dihentikan oleh pelanggan dan juga pekerja yang berada di tempat kejadian.
Kejadian tersebut menjadi buah mulut yang hangat diperkatakan dalam Facebook dan ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu.