JAKARTA: Pemerintah Indonesia telah mengarahkan pembekal telekomunikasi untuk menghentikan sementara perkhidmatan internet di pulau Bali pada Sabtu, bagi menghormati sambutan Hari Nyepi, lapor Reuters.
Ketika sambutan tahunan itu, kebanyakan aktiviti di pulau peranginan yang popular dengan pantai dan candi tersebut lazimnya serta-merta dihentikan. Seluruh pulau akan berada dalam keadaan senyap sunyi, termasuk penutupan operasi lapangan terbang antarabangsanya.
Sebelum ini, pelancong luar akan menyaksikan keunikan budaya orang tempatan sempena Hari Nyepi iaitu mereka hanya duduk di dalam rumah, dan pada sebeah malamnya, kediaman mereka hanya diterangi cahaya lilin.
Pelancong asing masih boleh berjalan di kawasan terbuka, tetapi mereka dilarang untuk membuat bising mahupun melakukan sebarang aktiviti besar.
Namun, ini kali pertama pembekal internet diminta untuk menutup data selular.
Hal tersebut disahkan oleh Telkomsel, iaitu syarikat pembekal rangkaian mudah alih terbesar negara itu.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Komunikasi memberitahu, pemimpin agama di Bali telah merayu penutupan internet selama 24 jam bermula jam 6 pagi Sabtu ini (17 Mac).
“Kami telah mengarahkan semua pembekal telekomunikasi untuk mengambil langkah sama bagi menyokong rayuan pemimpin agama tersebut.
“Mereka juga harus mengambil langkah untuk memastikan kualiti akses internet di lokasi-lokasi penting,” ujar kenyataan itu.
Pengarah dan Presiden Smartfen, Merza Fachys berkata, lokasi penting yang dimaksudkan adalah seperti hospital, bank, dan beberapa tempat awam.
“Kami akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan pemimpin agama di Bali,” tambahnya.
Sementara itu, masih belum jelas sama ada akses internet di hotel dan kafe masih boleh beroperasi seperti biasa.
TRIVIA:
Hari Nyepi merupakan acara peringatan tahun baru Saka berdasarkan kalendar Bali. Kalendar ini adalah yang telah diubah suai daripada Kalender Saka yang berasal dari India, dengan tambahan elemen-elemen masyarakat tempatan. Dalam kalender Gregorian, Hari Nyepi selalu jatuh antara bulan Mac dan April. Pada tahun ini, Hari Nyepi disambut pada 17 Mac.
Hari Nyepi diraikan oleh penganut Hindu di Indonesia, khususnya di Bali. Nyepi berasal dari perkataan ‘sepi’ yang bermaksud sunyi dan masyarakat Hindu pada hari tersebut tidak melakukan sebarang kegiatan pada hari suci itu. Di Bali, kemeriahan di pulau peranginan popular itu seolah-olah terhenti selama 24 jam setiap kali tiba Hari Nyepi.