ANDA gemar melancong di dalam mahupun di luar negara? Tetapi sering dijangkiti selesema ketika berada di dalam pesawat?
Pastinya anda tidak ingin perkara ini mengganggu percutian anda.
Sedangkan anda sanggup berbelanja lebih demi membeli tiket pesawat yang mahal hanya untuk bercuti bersama yang tersayang.
Justeru, bagaimana caranya untuk kekal sihat ketika berada di dalam pesawat?
1. Minum air secukupnya
Perjalanan yang jauh berjam-jam serta pengudaraan yang agak kering di dalam pesawat berpotensi memberi kesan dehidrasi kepada badan sehingga menyebabkan sakit kepala, selesema, batuk dan sebagainya.
Namun pengambilan air kosong secukupnya dipercayai dapat meningkatkan kelembapan badan untuk berfungsi dengan baik seterusnya dapat menghindari daripada dijangkiti selesema.
Minumlah air putih sekurang-kurangnya 500 mililiter (ml) sebelum menaiki pesawat.
2. Elakkan duduk bersebelahan penumpang dijangkiti selesema
Jika penumpang yang berada bersebelahan atau berhampiran anda dijangkiti selesema, mintalah agar ditukarkan tempat duduk kepada kawasan yang lebih terbuka seperti disebelah laluan.
Namun jika tiada pilihan, jarakkan sedikit diri anda jika terdengar penumpang sebelah terbersin atau batuk.
3. Duduk berhampiran tingkap pesawat
Memilih tempat duduk bersebelahan tingkap pesawat akan mengurangkan peluang anda untuk mendekati atau bersentuh dengan penumpang yang dijangkiti selesema.
Manfaatkan peluang ini untuk menikmati pemandangan di luar tingkap pesawat yang sukar diperoleh pada hari-hari biasa.
Memetik portal jurnal saintifik, Proceedings of the National Academy of Sciences, satu kajian mendapati 11 orang disekeliling terdedah kepada bakteria dan virus seorang penumpang yang dijangkiti selesema, iaitu dua yang duduk di baris yang sama, tiga yang berada di baris hadapan dan belakang penumpang berkenaan dan tiga lagi yang berada di sebelah laluan di baris yang sama.
4. Gunakan penutup hidung dan mulut
Selain itu, pakailah penutup hidung dan mulut.
Ini dapat membantu melindungi diri anda dari terdedah secara langsung kepada bakteria dan virus selesema yang tersebar melalui udara.
Namun jika anda sendiri yang dijangkiti selesema, amat penting untuk anda gunakan cara ini demi keselamatan orang di sekeliling agar mereka tidak dijangkiti virus selesema anda.
5. Memastikan kebersihan tangan
Cucilah tangan anda setiap kali sebelum dan selepas melakukan sesuatu perkara terutamanya selepas menyentuh permukaan yang terdedah kepada bakteria seperti tombol pintu, meja dan sebagainya.
Amalkan 7 langkah mencuci tangan yang betul kerana ini dapat mengurangkan peratus bakteria yang ada pada permukaan tangan.
Dr. Nandita Bhati, seorang pakar gigi di spa pergigian di Ridgeway, United Kingdom, menggariskan panduan tujuh langkah mencuci tangan betul.
1. Basahkan tangan dan picitkan sedikit sabun (bersaiz duit syiling).
2. Gosokkan kedua-dua telapak tangan anda bersama-sama.
3. Gosokkan di bahagian belakang telapak tangan kiri menggunakan telapak tangan kanan dan sebaliknya.
4. Gosokkan kedua-dua tangan sambil mengunci jari-jemari anda.
5. Gosokkan di bahagian belakang jari di kedua-kedua belah tangan. Gosokkan juga bahagian hujung jari pada telapak tangan yang lagi satu.
6. Gosokkan ibu jari dan pergelangan tangan.
7. Bilas tangan dengan air bersih.
6. Kekalkan kelembapan ruangan di dalam hidung
Pengudaraan yang kering serta ruang yang sempit di dalam pesawat akan menyukarkan penumpang-penumpang untuk mengekalkan kelembapan pada badan terutamanya ruang di dalam hidung.
Menghidu wap yang terhasil daripada minuman panas dikatakan dapat menambah kelembapan di dalam rongga hidung selain mengoles sedikit jeli petroleum seperti ‘vaseline’ atau mana-mana pelembap di hujung jari dan disapu pada permukaan hidung, dipetik portal Caring.com.
7. Memastikan kebersihan makanan yang disediakan
Seperti sedia maklum, menjamu makanan yang dibawa dari rumah di dalam pesawat sememangnya satu kesalahan.
Bagi yang memilih untuk menjamu hidangan yang disediakan di dalam pesawat, kebersihan makanan tersebut haruslah menjadi keutamaan.
Caranya adalah dengan memastikan hidangan yang disediakan masih panas ketika dihidangkan. Sekiranya sudah sejuk, anda berhak untuk meminta agar digantikan dengan yang baru.
Manakala, hidangan seperti ‘sandwich’ atau buah mestilah dibalut di dalam plastik.
Walaupun tip-tip di atas tidak memberi jaminan seratus peratus buat anda untuk mengelak dari dijangkiti selesema, namun tiada salahnya untuk mencuba.
Mungkin cara ini dapat membantu anda untuk kekal sihat di dalam pesawat.
Sayangilah diri anda, utamakan kebersihan dalam kehidupan seharian. Selamat mencuba!